Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Pearly Tan tarik diri dari Piala Uber akibat kecederaan belakang
  • SUKAN

Pearly Tan tarik diri dari Piala Uber akibat kecederaan belakang

Utusan Sarawak 4 hours ago
Pearly Tan 

KUALA LUMPUR: Malaysia menerima tamparan hebat menjelang saingan Piala Uber di Horsens, Denmark dari 24 April hingga 3 Mei ini apabila pemain beregu wanita utama negara Pearly Tan menarik diri susulan kecederaan belakang berulang.

Dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, Pearly meluahkan rasa kesal kerana tidak dapat menyertai skuad negara ke kejohanan berpasukan berprestij itu, selain memohon maaf kepada rakan sepasukan, pihak berkepentingan dan peminat.

“Saya benar-benar memohon maaf kerana mengecewakan semua pihak. Saya baru sahaja mengalami kecederaan belakang ketika kejohanan terakhir dan saya sangat kecewa mengenainya.

“Tiada yang lebih saya inginkan selain berada di gelanggang, berjuang untuk setiap mata dan bersama pasukan saya. Namun kali ini, tubuh saya memaksa saya berhenti dan saya perlu mendengarnya,” katanya sambil mengakui perasaan sedih terpaksa melupakan kejohanan itu.

Pemain berusia 24 tahun itu turut mendedahkan kecederaan berkenaan bukan perkara baharu, sebaliknya pernah dialaminya tiga tahun lepas hingga hampir menjejaskan kariernya.

Dalam masa sama, Pearly mengakui beberapa hari kebelakangan ini amat mencabar dari segi mental apabila terpaksa menerima hakikat tidak dapat bersama pasukan, walaupun berdepan dilema antara komitmen terhadap pasukan dan kesihatan jangka panjangnya.

“Ia sangat menyakitkan tidak dapat bersama rakan sepasukan melalui perjalanan ini. Ketahuilah hati saya sentiasa bersama pasukan, dan saya akan terus memberi sokongan kepada setiap seorang daripada mereka,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan Pearly tidak akan bersama skuad negara ke Pusingan Akhir Piala Uber 2026.

Pengarah Kejurulatihan Beregu Negara Rexy Mainaky berkata keputusan itu dibuat selepas penilaian lanjut terhadap tahap kecederaan pemain berkenaan.

“Pearly tidak berada pada tahap yang membolehkan beliau bersaing. Kami terpaksa membuat keputusan demi memastikan pasukan berada dalam persediaan terbaik,” katanya.

Dengan ketiadaan Pearly, Malaysia kehilangan gandingan utama beregu wanita, sekali gus menyaksikan pasangan M. Thinaah dijangka digandingkan dengan pemain lain bagi kempen kali ini.

Antara gandingan beregu wanita lain yang dibawa ke Piala Uber ialah pasangan muda Ong Xin Yee–Carmen Ting serta Low Zi Yu–Noraqilah Maisarah.

Bagi acara perseorangan wanita pula, Malaysia akan menampilkan K. Letshanaa, Wong Ling Ching, Siti Zulaikha Azmi dan Goh Jin Wei.

Skuad wanita negara diundi dalam Kumpulan B Piala Uber bersama Jepun, Turkiye dan Afrika Selatan. – Bernama

Continue Reading

Previous: Peluang mewakili Malaysia satu keistimewaan – Thinaah

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.