NURZILLA MOHAMAD
SIBU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melakukan pemantauan di dua cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) di sini bagi memastikan proses pengeluaran tunai Bantuan Prihatin Nasional (BPN) berjalan lancar.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, sepasukan anggota polis telah ditugaskan untuk membantu memantau situasi semasa serta mengelak dari sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Bagi BSN cawangan Jalan Kampung Nyabor di sini, seramai lapan anggota telah ditempatkan seawal jam 8.00 pagi.
“Manakala enam anggota yang diketuai Timbalan Ketua Polis Daerah Sibu, Superintenden Collin Babat membuat pemantauan di BSN cawangan Sibujaya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawat periksa di BSN Jalan Kampung Nyabor di sini, semalam.
Menurut Stanley, hasil pemantauan mendapati keadaan di kedua-dua cawangan BSN berada dalam keadaan terkawal walaupun kelihatan orang ramai beratur panjang.
“Orang ramai yang datang memberi kerjasama sepenuhnya serta mematuhi arahan daripada pihak polis serta pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang bertugas dengan menjaga jarak masing-masing ketika berbaris.
“Selain itu, langkah keselamatan seperti pemakaian penutup mulut dan hidung serta pemeriksaan suhu badan dilakukan sebelum memasuki premis bank.
“Hanya 10 orang sahaja dibenarkan untuk masuk ke dalam bank dalam satu-satu masa untuk berurusan di kaunter bagi mengelakkan kesesakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Stanley memberitahu pihaknya sudah menjangkakan orang awam akan datang dengan lebih ramai memandangkan hari ini (semalam) adalah hujung minggu.
“Kita memang sudah menjangkakan bahawa hari ini lebih ramai orang akan datang berbanding hari Sabtu lepas tetapi keadaan terkawal.
“Apa yang penting adalah orang ramai harus sentiasa mematuhi arahan daripada pihak berkuasa supaya tiada insiden yang tidak diingini berlaku.
“Kita juga turut menasihati orang awam yang datang supaya datang pada lain hari jika keperluan mereka tidak mendesak kerana baucar ini boleh ditunaikan sehingga hujung tahun,” katanya.
Sementara itu, menurut sumber dari BSN Cawangan Sibu, seramai 236 baucar berjaya ditunaikan pada i Sabtu lalu.
Pihak BSN juga ada menghebahkan di laman sesawang serta laman sosial bahawa baucar BPN boleh ditunaikan di cawangan BSN sehingga 31 Disember 2020.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berasak-asak di kawasan awam serta mematuhi penjarakan sosial sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini.