
SIBU: Pergerakan Wanita dan Pemuda Parti Demokratik Progresif (PDP) perlu bergerak lebih aktif dan dinamik selaras dengan perubahan landskap politik semasa di Sarawak yang menuntut pendekatan baharu dalam mendekati rakyat.
Timbalan Presiden PDP, Henry Harry Jinep berkata, politik hari ini tidak lagi boleh digerakkan dengan cara lama termasuk dengan hanya turun padang ketika menjelang pilihan raya.
Menurut beliau, generasi muda kini mempunyai pandangan berbeza terhadap politik dan mengharapkan kestabilan, tindakan agresif serta hala tuju jelas daripada kepimpinan parti.
“Pergerakan Pemuda perlu menjadi suara anak muda, aktif memahami isu rakyat dan membawa pendekatan lebih segar.
“Kita perlu berubah mengikut zaman, masa dan kepimpinan. Di bawah pimpinan Premier Sarawak, kita dapat melihat perubahan bukan hanya dari segi retorik tetapi juga tindakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perhimpunan Agung Tri Tahunan Pergerakan Wanita dan Pemuda PDP 2026 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.
Henry yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak (Sungai dan Laut) berkata, PDP serta Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu sentiasa mendampingi rakyat tanpa mengira musim politik.
“Politik Sarawak sudah berubah. Kita tidak boleh tunggu pilihan raya baru hendak bekerja.
“Apabila beduk sudah dipukul, kita kena bersedia, tetapi jangan tunggu beduk berbunyi baru hendak turun padang. Kita mesti bekerja setiap masa untuk rakyat,” tegasnya.

Beliau turut menyifatkan sayap wanita sebagai nadi parti yang memainkan peranan penting dalam membuat keputusan, manakala Pemuda pula merupakan kekuatan yang menggerakkan perjuangan parti.
Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai pemimpin wanita dapat diketengahkan sebagai wakil rakyat pada masa depan selaras perubahan politik semasa.
“Kekuatan sesebuah parti bukan hanya bergantung kepada sejarah, tetapi kemampuan melahirkan pemimpin berwibawa, berintegriti dan dekat dengan rakyat,” katanya.
Henry turut mengingatkan ahli parti supaya bersedia menghadapi cabaran teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) yang dijangka memberi kesan besar kepada generasi akan datang.
Menyentuh sambutan jubli perak PDP tahun depan, beliau menyeru ahli parti agar terus memperkukuh perpaduan dan meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan peribadi demi memastikan kemenangan semua calon parti pada pilihan raya akan datang.
Turut hadir ialah Ketua Pemuda PDP David Yeo Ang Lim, Ketua Wanita PDP Agnes Jonep, Martin Ngindang yang mewakili Datuk Martin Ben, Belala Empawi mewakili Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah, Rosaline Neging mewakili Dato Sri Doris Sophia Brodie, Kaunselor Jenny Ting mewakili Kho Teck Wan, Kaunselor Kelvin Lau Kor Jie, dan Kaunselor Franklin Kesong mewakili Ir Christopher Gira Sambang.
Oleh Tarani Lanting