
Dato Sri Tiong King Sing.
SARATOK: Parti Demokratik Progresif (PDP) bukan entiti politik yang muncul dalam sekelip mata, kata Dato Sri Tiong King Sing.
Presiden PDP itu sebaliknya berkata parti berkenaan lahir daripada denyut nadi rakyat luar bandar yang mahukan pembangunan adil dan masa depan yang terjamin untuk anak-anak mereka.
Katanya, perjuangan parti bukan berlandaskan kepentingan peribadi, pangkat atau kedudukan, tetapi merupakan satu tanggungjawab kepada rakyat, negeri Sarawak dan tanah air yang tercinta.
“Perjuangan PDP adalah tentang mendengar suara rakyat pedalaman, membawa suara mereka ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan Parlimen, serta memastikan keperluan mereka dipenuhi dengan adil,” katanya semasa merasmikan majlis makan malam ‘Begulai Sejalai Dalam PDP’ anjuran PDP Bahagian Krian di Dewan Rumah Dayak, Saratok semalam.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Naib Presiden PDP, Dr Johnical Rayong Ngipa.
Tiong turut menekankan bahawa semangat perjuangan PDP selari dengan prinsip Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang menggabungkan PDP, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS) dalam satu barisan kukuh yang meraikan kepelbagaian sebagai satu kekuatan.
“Kita membawa suara Sarawak bukan sahaja di Kuching tetapi juga di Putrajaya. Hak-hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mesti dipertahan dan dipenuhi walau apa jua cabaran yang mendatang,” tegasnya.
Dalam politik semasa, beliau berkata rakyat tidak lagi mahu mendengar retorik kosong sebaliknya mengharapkan tindakan yang nyata.
GPS, katanya tidak pernah berjanji bulan dan bintang, tetapi berikrar untuk bekerja keras bagi memastikan pembangunan sampai ke setiap pelusuk negeri.
Tiong mengingatkan ahli-ahli parti agar terus berganding bahu dalam memperjuangkan nasib rakyat luar bandar dan memastikan PDP kekal relevan dalam landskap politik Sarawak.
Turut hadir Ahli Dewan Negara Senator Pele Peter Tinggom, ADUN Krian Friday Belik, ADUN Meluan Rolland Duat Jubin, Setiausaha Politik Premier Sarawak, Brian Fung, ketua-Ketua bahagian serta barisan Pemuda dan Wanita PDP seluruh negeri.
Oleh ADI SAFARMAN