KUCHING: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ducadang untuk menukarkan kepada penggunaan lampu solar bagi menerangi jalan raya kampung-kampung.
Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, berkata pihaknya sudah memberi cadangan itu dan masih diperincikan.
“Apa yang penting, kita mahu lampu solar yang terang, mudah diselenggara, dan tahan lama.
“Jadi, mereka (PBT) sedang mengkaji dan saya masih menunggu maklum balas mengenai cadangan untuk menukar lampu jalan kampung kepada lampu solar di tempat-tempat yang agak jauh dan perlu disambung menggunakan talian elektrik,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong, berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Program Jiwa Komuniti Madani di Dewan Serbaguna Kampung Paroh di sini, hari ini.
Fazzrudin juga berkata sebanyak 30 tiang lampu jalan diperlukan untuk memastikan keselamatan penduduk Kampung Paroh, Kampung Sejijak dan Kampung Tengah Sungai, terjamin.
Beliau berkata kebiasaannya setiap kampung memerlukan tiga hingga lima lampu jalan, namun jalan utama ke ketiga-tiga kampung tersebut agak jauh dan memerlukan lebih banyak lampu jalan.
Katanya, beliau akan berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Dato Sri Fadillah Yusof mengenai peruntukan bagi tujuan itu.
“Apa yang lebih penting, jalan ini di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR).
“JKR harus bersedia menerima lampu-lampu jalan ini kerana merekalah yang akan membayar bil dan melakukan penyelenggaraan terhadap lampu-lampu tersebut,” katanya.
Fazzrudin berkata beliau akan menggunakan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) sebanyak RM200,000 dengan menyalurkan lima tiang lampu solar kepada Kampung Paroh pada tahun ini.
Oleh Mohd Neenatul Aizal