FAIZAL BUJANG
PERSATUAN Persatuan Bola Sepak Bahagian Sibu (PBBS) perlu menunggu keputusan daripada badan induk – Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) sebelum dapat memutuskan status pelaksanaan program sepanjang tahun mereka.
Setiausaha Kehormat PBBS, ASP Kushairy Bujang memberitahu, pihaknya belum dapat memberi gambaran berhubung perkara itu.
Oleh yang demikian katanya, ia bergantungkepada keputusan dibuat oleh badan induk (FAS) terlebih dahulu.
“Kita belum dapat memberi penjelasan terperinci berhubung perkara itu. Tunggu pengumuman yang akan dibuat oleh pihak pengurusan FAS dalam tempoh terdekat nanti,” ujar Kushairy.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung status penganjuran Liga Sibu 2020 serta pelbagai program lain sepanjang tahun pihaknya.
Menurutnya, PBBS tiada masalah mengikuti arahan badan induk sama ada kesemua program sepanjang tahun ini perlu ditangguh mahupun dibatal ekoran kebimbangan penularan virus Covid-19 yang melanda negara dan dunia ketika ini.
“Apa yang penting bagi kita sama-sama berusaha memutuskan rantaian penularan virus maut berkenaan.
“Di samping tidak mahu mereka yang terlibat dengan kejohanan atau program yang dilaksanakan kelak terdedah kepada masalah terbabit,” tambah beliau.
Sambil berharap musibah berkenaan akan pulih sepenuhnya sekali gus membolehkan semua program dijalankan seperti sedia kala.