KUCHING: Tumpuan utama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) adalah menjaga kebajikan rakyat bukannya berpolitik sepanjang masa, tegas Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi.
Naib Presiden itu mengakui parti berkenaan bekerja sepanjang masa demi kesejahteraan rakyat.
“PBB akan berusaha menyelesaikan masalah yang ditanggung rakyat, disamping memberi pembangunan yang bermanfaat,” katanya.
Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) berkata demikian semasa Randau GPS-PBB DUN Pantai Damai di PTM SK Matu Baru semalam.
Tegasnya lagi PBB bukanlah parti yang berkhidmat semasa musim pilihan raya sahaja malahan sebagai parti tulang belakang Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan sejak dahulu lagi sentiasa mengutamakan rakyat di dalam semua aspek termasuk pembangunan fizikal dan ekonomi.
“Kita bukannya parti yang sentiasa mencari kesalahan orang atau mengamalkan budaya politik ekstrem atau berunsur kebencian.
“Tumpuan kita adalah untuk terus membawa pembangunan kepada rakyat dalam semua aspek,” ujarnya.
Sementara itu katanya, PBB juga berpeluang cerah untuk sekali lagi melakar keputusan cemerlang pada Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12).
“Tidak mustahil kita dapat sekali lagi menyapu bersih semua kerusi yang diperuntukkan kepada kita.
“Keyakinan kita adalah berdasarkan kepada usaha gigih yang ditunjukkan pemimpin dan jentera kita setiap kali pilihan raya berlangsung,” jelasnya.
Hadir sama Timbalan Ketua PBB Cawangan Pantai Damai Drahman Jaladin, Setiausaha PBB Cawangan Pantai Damai Merdehi Mas, Timbalan Ketua Wanita PBB Cawangan Pantai Damai Dayang Nora Awang Sabudin, Ketua Pemuda PBB Cawangan Pantai Damai Sebeki Jen dan Ketua PTM Matu Baru Sapudin Baseri.
Oleh Diyana Samsuddin