Paus ‘humpback’ terdampar di Jerman berjaya dilepaskan ke Laut Utara

Facebook
WhatsApp
GAMBAR udara yang dirakam pada 29 April 2026 menunjukkan paus humpback yang berjaya diselamatkan berada di dalam tongkang khas di sepanjang pesisir pantai Denmark dalam perjalanan kembali ke Laut Utara selepas terdampar di beting pasir berhampiran bandar Luebeck pada penghujung Mac. Foto AFP

FRANKFURT: Seekor paus ‘humpback’ yang bergelut untuk terus hidup selepas terdampar berhampiran pantai Jerman berjaya dilepaskan ke Laut Utara di perairan Denmark hari ini selepas diangkut menggunakan tongkang, menurut anggota misi penyelamatan.

Diberi nama “Timmy” oleh media Jerman, paus itu pertama kali dikesan terperangkap di beting pasir pada 23 Mac berhampiran bandar Luebeck sebelum berjaya melepaskan diri, namun kemudian beberapa kali terdampar semula.

Paus itu meninggalkan tongkang yang menundanya dari Teluk Wismar di pesisir Laut Baltik kira-kira pukul 8.45 pagi (0645 GMT), kata Karin Walter-Mommert daripada inisiatif penyelamatan berkenaan.

“Ketika ini ia berenang sendiri dengan bebas dan sekurang-kurangnya buat masa ini, ke arah yang betul,” katanya.

Pada awal April, pihak berkuasa Jerman menghentikan usaha menyelamat haiwan itu kerana percaya ia tidak lagi dapat diselamatkan.

Bagaimanapun, keputusan itu mencetuskan bantahan ramai sehingga pihak berkuasa akhirnya bersetuju meluluskan pelan penyelamatan yang dibiayai secara persendirian oleh dua usahawan kaya.

Idea menggunakan tongkang dicetuskan selepas percubaan awal menyelamatkan paus itu menggunakan kusyen kembung dan pontun tidak berjaya.

Usaha penyelamatan itu dilihat sebagai langkah berisiko tinggi dan turut dikritik pakar yang berpendapat tindakan berkenaan hanya akan menambah tekanan terhadap haiwan tersebut.

Nasib malang paus itu turut mencetuskan liputan meluas media dengan laporan berterusan oleh saluran televisyen, portal dalam talian dan pempengaruh media sosial — selain mencetuskan pertikaian hangat serta teori konspirasi. – AFP