MANCHESTER: Ruben Amorim membuat pengakuan mengejutkan dengan mengatakan bahawa Manchester United di bawah kendaliannya adalah pasukan terburuk dalam sejarah kelab selepas kekalahan mengecewakan 1-3 kepada Brighton awal pagi tadi.
United mengalami kekalahan keenam dalam 11 perlawanan Liga Perdana sejak Amorim tiba dari Sporting Lisbon untuk menggantikan Erik ten Hag yang dipecat.
“Kami adalah pasukan terburuk mungkin dalam sejarah Manchester United.
“Saya tahu anda mahukan tajuk utama, tetapi saya mengatakan ini kerana kita perlu mengakui dan mengubahnya. Jadi, inilah dia: tajuk utama anda,” kata Amorim selepas persembahan buruk pasukannya di Old Trafford.
Pasukan Amorim kini berada di tangga ke-13 dan walaupun mereka 10 mata di atas zon penyingkiran, tiada yang pasti sama ada mereka boleh mengelak daripada tergelincir ke zon berkenaan berdasarkan prestasi yang di tunjukkan awal pagi tadi.
Yankuba Minteh membuka tirai untuk Brighton dengan gol awal yang menunjukkan betapa lemahnya prestasi United.
Bruno Fernandes menyamakan kedudukan dengan sepakan penalti sebelum separuh masa, tetapi gol kedua dari Kaoru Mitoma dan Georginio Rutter meletakkan United dalam masalah.
United mengalami enam kekalahan liga di tempat sendiri musim ini, yang paling banyak daripada 12 perlawanan pembukaan mereka dalam satu musim sejak 1893-94.
Mereka juga tewas 10 daripada 22 perlawanan liga musim ini, ia adalah kali pertama mereka mencapai angka dua gigit untuk jumlah kekalahan dalam kempen liga utama sejak 1989-90.
Walaupun United belum sepenuhnya terjerumus ke zon penyingkiran, Amorim harus mencari cara mendapatkan keputusan positif bagi mengelakkan tekanan terhadapnya.
“Saya tidak akan berubah, tidak kira apa pun. Saya tahu kami boleh berjaya tetapi kami perlu bertahan melalui saat ini. Saya tidak naif. Kami perlu bertahan sekarang,” kata Amorim. – AFP