
SIMANGGANG: Pasukan Cak Tom B berjaya mengekalkan kejuaraan dua kali berturut-turut selepas merangkul gelaran juara bagi kategori dewasa Pertandingan Lombak Colop Malam 7 Likur Kampung Lemanak 2025 sekaligus sekali lagi membawa pulang Piala Pusingan KK Jamali Hamden, malam tadi.
Dengan kejuaraan tersebut, pasukan Cak Tom B berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100 berserta Piala Pusingan KK Jamali Hamden dan pingat.
Pasukan Cak Tom A yang muncul naib juara membawa pulang hadiah wang tunai RM70 dan pingat, manakala pasukan Cak Tom D yang menduduki tempat ketiga membawa pulang hadiah wang tunai RM50 dan pingat.
Bagi kategori remaja pula, pasukan Cak Tom A muncul sebagai juara dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100 dan pingat, pasukan Pejuang Jalanan muncul naib juara dengan membawa pulang RM70 serta pingat dan pasukan Cak Tom D ditempat ketiga membawa pulang RM50 dan pingat.
Bagi kategori kanak-kanak, pasukan Cak Tom muncul sebagai juara dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM100 dan pingat, pasukan Todak Junior muncul naib juara dengan membawa pulang RM70 serta pingat dan pasukan Cak Tom F ditempat ketiga membawa pulang RM50 dan pingat.
Sementara itu, bagi kategori veteran solo pula, Hamali Ariffin muncul juara, ditempat kedua Jaafarudin Deraman dan tempat ketiga Sperian Ahmad.
Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor.
Dayang Noorazah, berkata permainan tradisi larian obor atau dikenali sebagai ‘lombak colop’ oleh penduduk Kampung Lemanak yang diadakan pada malam tujuh likur sebelum menjelangnya Hari Raya Aidilfitri disifatkan sebagai budaya kaum Melayu di Bandar Simanggang yang paling unik sejak turun temurun lagi.
Beliau berkata tradisi lombak colop ini perlu dipelihara dan dikekalkan agar ia tidak terus ditelan arus pemodenan zaman dan perlu diturunkan serta diwarisi generasi muda pada masa kini.
“Saya berharap permainan tradisi seperti ini perlu dimeriahkan lagi pada tahun depan dengan skala penganjuran yang lebih besar lagi,” katanya.
Turut hadir ialah Penghulu Zamari Morshidi, Ketua Kampung Lemanak, Jamali Hamden, Ketua Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga, Abdul Rahim Jamil dan Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Simanggang, Tay Cho Seng.
Oleh Adi Safarman