
SIBURAN: Senaman berkala, seperti Qi Gong, penting untuk memastikan kesihatan fizikal dan mental yang optimum pada usia tua.
Timbalan Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Dr. Jerip Susil, mengingatkan peserta mengenai pentingnya mengamalkan senaman secara konsisten untuk menjaga kesihatan.
“Qi Gong bukan sahaja bermanfaat untuk menguatkan tubuh badan tetapi juga meningkatkan kesejahteraan mental, yang amat penting untuk individu yang berusia 50 tahun ke atas,” ujar beliau semasa berucap pada Program Latihan Qi Gong Besar-Besaran dan Perhimpunan Tahun Baharu Cina 2025 di sini pagi tadi.
Qi Gong adalah senaman yang menggabungkan pergerakan perlahan, pernafasan mendalam dan meditasi untuk memperbaiki aliran tenaga dalam tubuh.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, menegaskan bahawa senaman berkala penting untuk mengurangkan risiko penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi, diabetes, dan masalah jantung, serta untuk meningkatkan daya tahan tubuh.
Beliau menekankan bahawa, selain senaman, pemakanan seimbang, rehat yang cukup, dan sokongan sosial yang positif juga penting untuk menjaga kesihatan secara keseluruhan.
Program Qi Gong yang dianjurkan oleh Infinite Qi Gong bertujuan memperkenalkan gaya hidup sihat kepada masyarakat.
Acara ini, dihadiri lebih 300 peserta dari pelbagai pusat latihan di Kuching, tidak hanya merayakan Tahun Baharu Cina, tetapi juga memberikan peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama meningkatkan kesihatan mereka.
Program ini berjaya mencapai matlamatnya dengan menggalakkan amalan gaya hidup sihat melalui latihan Qi Gong dan memupuk semangat perpaduan di kalangan peserta.
Turut hadir Pengerusi Pengelola dan Division Director Infinite Qi Gong Sarawak Chong Choon Mui, Pengerusi Lembaga Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Chung Hua Siburan Phang Nam Fatty, Datin Jennifer Chee Moinie dan Penghulu Masyarakat Cina Daerah Siburan Voon Mui San. – UKAS