KUCHING: Sarawak komited bagi memastikan golongan belia menamatkan pendidikan sehingga tingkatan lima agar mampu mencapai potensi diri mereka.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, perkara ini penting kerana ia membantu mereka mencari pekerjaan yang melindungi mereka dan anak-anak daripada kemiskinan.
“Perubahan masyarakat kini mendorong pertimbangan untuk menaikkan had umur perkahwinan sivil kepada 18 tahun, berbanding peruntukan sedia ada yang membenarkan perkahwinan lebih awal dengan izin ibu bapa atau kerajaan negeri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Fatimah berkata, di negeri ini selain undang-undang sivil, terdapat undang-undang syariah dan pelbagai undang-undang Adat Anak Negeri yang kurang difahami di luar Sarawak.
Terdahulu, Persatuan Wanita untuk Wanita Sarawak (SWWS) telah mengadakan kunjungan hormat kepada beliau untuk memberi taklimat berkenaan siri dialog yang akan datang bersama pemimpin adat, wanita, dan belia komuniti asal Sarawak.
“Dialog tersebut bertujuan membincangkan pandangan moden mengenai usia yang sesuai bagi perkahwinan dalam kalangan belia komuniti mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Fatimah turut menjelaskan bahawa kementeriannya akan bekerjasama dengan SWWS bagi menyokong usaha mereka untuk menangani isu ini.
Siri meja bulat dan bengkel ini akan bermula bulan depan melibatkan komuniti Bidayuh dan sesi dialog akan diadakan di Sri Aman, Kapit, Miri, Long Lama, dan Lawas sepanjang tahun ini dan tahun depan.
Laporan lengkap akan dibentangkan dan disebarkan pada awal 2026 dan projek ini dibiayai oleh Dana Inisiatif Tempatan Kanada.
Untuk pertanyaan lebih lanjut mengenai projek ini boleh menghubungi SWWS di info@sarswws.com atau mesej ke 013-804 4285.