
SIBU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menegaskan keperluan untuk memberi perhatian serius terhadap pembinaan projek mega Sarawak bagi memastikan aspek keselamatan kebombaan dan penyelamatan sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Ketua Pengarah JBPM, Dato’ Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, antara projek yang perlu diberi penekanan ialah pembinaan stesen bahan api pelbagai (multifuel station), Hab Hidrogen Sarawak, Sistem Transit Aliran Rel Autonomi (ART) serta pembangunan pesat sektor minyak dan gas.
“Peralihan landskap industri yang semakin progresif ini menuntut kita sebagai agensi penguat kuasa untuk melihat secara lebih holistik kepada pembangunan prasarana ini.
“Ini bagi memastikan pelan tindakan kecemasan dapat dilaksanakan dengan berkesan sekiranya berlaku sebarang insiden,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM, Othman Abdullah pada majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji PBB peringkat JBPM Negeri Sarawak di Dewan Canselor Universiti Teknologi Sarawak (UTS), di sini, hari ini.
Majlis itu menyaksikan seramai 33 anggota menerima Pingat Perkhidmatan Bomba, 98 menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan 10 menerima Sijil Perkhidmatan Terpuji PBB.
Turut diraikan 113 pegawai yang telah berkhidmat selama 30 tahun dalam bidang kebombaan dan penyelamatan.
Di samping itu, Nor Hisham turut menegaskan bahawa kesiapsiagaan menghadapi cabaran risiko penggunaan tenaga alternatif merupakan satu lagi aspek penting yang perlu diberi tumpuan oleh JBPM Sarawak.
“Kita sedia maklum bahawa kerajaan Sarawak kini komited menjadi pelopor kepada ekonomi hidrogen hijau serta menjadikan negeri ini sebagai hab tenaga boleh diperbaharui.
“Maka, JBPM perlu sentiasa bersedia dalam memastikan keselamatan infrastruktur berkaitan,” katanya.
Turut hadir, Pengarah JBPM Negeri Sarawak Jamri Masran dan penolongnya Tiong Ling Hii.
Oleh Tarani Lanting