
SARIKEI: Seramai 51 pemilik tanah menerima cek pampasan berjumlah keseluruhan RM644,995.60 berikutan pengambilan balik tanah bagi projek pembinaan jalan baharu di kawasan Bukit Huang, Kampung Bugis hingga ke Sekolah Kebangsaan (SK) Muara Payang.
Projek sejauh tujuh kilometer itu telah diluluskan oleh kerajaan pada 30 Ogos 2022 dan melibatkan 91 bidang tanah.
Penguasa Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarikei, Sr Awan Amal berkata, proses pengambilan balik tanah untuk projek berkenaan telah berjaya diselesaikan pada tahun ini, sekali gus membolehkan penyerahan tapak kepada jabatan klien, iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak.

“Segala usaha ini tidak akan berjaya tanpa sokongan padu daripada Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh, selain kerjasama erat semua pihak yang terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan cek pampasan Projek SK Muara Payang Road In Kampung Bugis/Bukit Huang/Muara Payang Scheme bertempat di Dewan Serbaguna, Tingkat 3, Pusat Pentadbiran Bersepadu (IAC), hari ini.
Hadir bagi merasmikan majlis tersebut ialah Datuk Len Talif Salleh.
Awan turut merakamkan penghargaan kepada kakitangan, jawatankuasa pelaksana serta agensi berkaitan yang membantu dalam memastikan proses pengambilan balik tanah dan pembayaran pampasan berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Turut hadir, Pegawai Tadbir Khas Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), Kelana Kipli dan Pemangku Pegawai Daerah Sarikei, Ainur Yazmin Zaini.
Oleh Earl Anek