FAIZAL BUJANG
PASAR Sabtu Pendam, Sadong Jaya yang mula diperkenalkan awal tahun ini sesungguhnya memberi impak yang cukup hebat buat masyarakat setempat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.24 Sadong Jaya.
Manakan tidaknya, pasar tersebut yang beroperasi pada hari Sabtu setiap minggu berperanan sebagai medan untuk memasarkan produk hasil tani yang ada.
Tidak hanya mencakupi hasil tuaian, sayur-sayuran bahkan meliputi segala keperluan untuk bidang pertanian seperti anak benih pokok buah-buahan yang pelbagai.
Perkara tersebut diakui Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.24 Sadong Jaya, Ir Aidel Lariwoo sendiri tatkala mengulas sejenak disebalik penubuhan ‘Pasar Sabtu Pendam’ berkenaan.
Menurut Ir Aidel, kita melihat Daerah Sadong Jaya yang begitu terkenal dengan pengeluaran produk hasil tani selain hasil laut yang tidak perlu diperkenalkan lagi.
Oleh yang demikian katanya, melihat kepada kawasan terbabit yang sering menjadi anjung singgah kepada masyarakat pelbagai suku kaum saban hari.
Justeru, cetusan idea untuk mewujudkan ‘Pasar Sabtu Pendam’ yang tujuan dapat dijadikan tempat untuk menghimpun sekali gus memasarkan produk hasil mahsul pertanian dikawasan berkenaan.
“Satu pendekatan yang amat tepat disebalik kewujudan ‘Pasar Sabtu Pendam’ di Daerah Sadong Jaya.
“Saya melihat ia dapat memberi peluang kepada masyarakat setempat menjual hasil pertanian dari ladang masing-masing,” kata beliau.
Sambil menjelaskan secara tidak langsung berupaya memberi peluang kepada masyarakat luar kawasan untuk memperolehi bahan mentah yang diinginkan mereka.
Katanya, apa yang menariknya peranan yang dilihat cukup berkesan dengan adanya ‘Pasar Sabtu Pendam’ yang berupaya mencetus satu fenomena baharu terhadap industri tani di Daerah Sadong Jaya dan Bahagian Samarahan secara keseluruhannya.
“Apa pun diharap ‘Pasar Sabtu Pendam’ suatu hari kelak berupaya menjadi syurga pembelian produk pertanian masyarakat sejagat dengan lebih banyak hasil petani yang dapat diketengahkan dari semasa ke semasa,” tambah beliau lagi.