Pasangan suami isteri tarik perhatian penggemar sate dengan dua kuah unik

Facebook
WhatsApp
PENGUSAHA sate Warong Daun Emas Reza Jamaludin menunjukkan set hidangan sate ayam dan daging berserta tiga pilihan sos pencecah untuk dinikmati pelanggan di gerai Warong Daun Emas, baru-baru ini. Kebiasaannya sate dinikmati bersama kuah kacang, namun berbeza dengan seorang peniaga tempatan yang berani mencipta kelainan apabila memperkenalkan satay dengan tiga pencecah iaitu sos sukiya, sos hitam cili padi serta kuah kacang. Kelainan yang dibawa ini mampu menawarkan pengalaman rasa berbeza kepada peminat makanan tradisional Melayu ini sekaligus memberi variasi pilihan pencecah (dipping) kepada pelanggannya. Pemilik Warong Daun Emas Reza Jamaludin, 40, berkata idea berkenaan tercetus hasil pemerhatian terhadap trend makanan semasa serta permintaan pelanggan yang mahukan kelainan daripada satay konvensionalnya yang beroperasi di Kemayan Square di sini. Foto BERNAMA

LAZIMNYA, sate dinikmati bersama dengan kuah kacang, namun pemilik Warong Daun Emas di Kemayan Square, Seremban memilih pendekatan berbeza apabila memperkenalkan dua lagi pilihan pencecah, iaitu sos sukiya dan sos hitam cili padi.

Kelainan yang dibuat pasangan suami isteri Reza Jamaludin, 40, dan Mia Nurhamizah Abdul Ghafar, 35, itu bukan sahaja menawarkan rasa berbeza kepada penggemar sajian tempatan, tetapi juga memberikan variasi pilihan pencecah kepada pelanggan merangkumi semua generasi.

Reza berkata idea itu tercetus hasil pemerhatian kepada trend makanan semasa dan permintaan pelanggan yang inginkan kelainan daripada sate biasa di warungnya.

“Isteri beri idea untuk buat kuah lain daripada biasa, maka terhasillah kuah hitam cili api (khusus untuk penggemar makanan pedas) dan sos sukiya buat mereka yang sukakan rasa ala hidangan Jepun.

“Kami menjanjikan hidangan sate di sini tidak akan sama seperti di tempat lain, terutamanya dari segi kuah. Walaupun perniagaan ini masih baharu, permintaan diterima amat memberangsangkan,” katanya kepada Bernama di sini.

Sementara itu, Mia Nurhamizah berkata rempah ratus dan perapan sate serta kuah ialah hasil daripada resipi warisan turun-temurun daripada keluarganya sendiri.

Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata setiap hari dia akan menyediakan lebih kurang 2,000 cucuk sate termasuk untuk pelanggan yang membuat tempahan awal.

TIGA pilihan sos pencecah iaitu kuah kacang, sos hitam cili api dan sos sukiya bagi hidangan sate untuk dinikmati pelanggan di gerai Warong Daun Emas, baru-baru ini. Foto BERNAMA

“Di sini, kami menyediakan sate mengikut pilihan pelanggan. Selain sate biasa (nasi himpit dan kuah kacang), kami turut menyediakan pakej hidangan bagi mereka yang inginkan tiga kuah pencecah. Harga sate serendah RM1.30 secucuk hingga RM24 bagi pakej lengkap dengan tiga pilihan pencecah.

“Setiap pesanan disediakan khas mengikut kehendak pelanggan, sate hanya dibakar sebaik sahaja tempahan dibuat, bukan dibakar awal bagi memastikan setiap cucuk kekal lembut, berjus dan penuh dengan rasa,” katanya.

Mia Nurhamizah mereka kini sedang merancang untuk membuka cawangan kedua Warong Daun Emas di kawasan bandar Seremban dalam masa terdekat.- Bernama

Jejakmu masih ada

SETIAP yang bermula pasti akan tiba pada akhirnya. Begitulah hukum kehidupan yang tidak dapat dielakkan. Ada pertemuan yang membuka jalan,

Nikmat sihat, amanah yang perlu dijaga

PEMBERIAN kesihatan daripada Allah SWT kepada manusia dikategorikan sebagai nikmat yang paling besar. Ketika tubuh sihat, kita mampu melakukan pelbagai

Menala hati

KEHIDUPAN manusia boleh kita kaitkan sebagai persamaan dengan sebuah alat muzik. Setiap tindakan melahirkan kesan, setiap perkataan meninggalkan getaran dan

Menyemai ukhuwah, memperkukuh perpaduan

PERPADUAN merupakan satu sumber kekuatan dalam masyarakat. Malaysia dibina atas latar masyarakat yang berbeza dari sudut kaum, agama, bahasa dan