
STOCKHOLM: Sepasang suami isteri di sebuah perkampungan di Norway menamakan anak perempuan yang baharu dilahirkan sempena bintang bola sepak Erling Haaland, ketika bahang demam Piala Dunia melanda negara itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik media tempatan hari ini.
Bayi berkenaan dilahirkan tepat pada minit ke-86, iaitu waktu yang sama penyerang terbabit menjaringkan gol kemenangan ketika Norway menewaskan Ivory Coast dalam aksi pusingan 32 terakhir pada Selasa, lapor TV2.
Susulan itu, bayi berkenaan dinamakan ‘Erle’, iaitu bentuk nama feminin bagi ‘Erling’.
“Apabila saya terasa tanda mahu bersalin, saya mendengar sorakan kuat daripada suami saya yang merupakan peminat tegar bola sepak,” kata si ibu, Lene. “Saya terus sedar bahawa ada perkara lain (perlawanan bola sepak) yang sedang berlaku.”
Jaringan gol berkenaan memberi inspirasi kepada si bapa, Bjarte, untuk menilai semula pilihan nama buat anak perempuan mereka.
“Kami sebenarnya belum membuat keputusan muktamad dan mempunyai beberapa nama dalam senarai pendek,” kata Lene.
“Erle tiada dalam senarai itu, tetapi pasangan saya tiba-tiba mencadangkan nama berkenaan dan begitulah ia terjadi.
Pasukan dari Scandinavia itu dijadualkan menentang Brazil pada Ahad ini dalam pusingan 16 terakhir, yang merupakan pencapaian paling jauh pernah dicapai mereka dalam sejarah Piala Dunia lelaki.
– Bernama