SIBUTI : Parit utama di kawasan kampung di Daerah Subis kini giat dibersihkan untuk mengelak banjir kilat berlaku, berikutan hujan lebat saban hari.
Pihak kontraktor pembersihan parit yang enggan nama disiarkan ketika ditemui berkata, banyak parit utama di kampung-kampung di Bekenu telah dibersihkan.
Katanya, pembersihan itu dilakukan untuk memudahkan air hujan terus mengalir ke sungai dan mengurangkan risiko banjir kilat.
“Pembersihan parit adalah di Kampung Dagang, Kelapa, Menjelin dan Jengalas. Kedudukan kampung ini berada di kawasan rendah yang berisiko tinggi mengalami banjir kilat,” katanya.
Utusan Sarawak difahamkan beberapa kampung di sini turut mendapat pemantauan oleh Anggota Sukarelawan Pertahanan Awam Daerah Miri.
Keadaan cuaca di sebelah petang sentiasa tidak menentu ketika ini yang mendung dan hujan adalah sebab utama pihak berkuasa tempatan mengadakan pembersihan parit.
Oleh Ugir Liu