PARIS: Tangan kebas dialami pemanah para negara Nur Jannaton Abdul Jalil sepanjang aksi bertemu Sarita dari India menjejaskan panahannya sekali gus terkandas awal dalam saingan compound individu wanita terbuka pada Sukan Paralimpik Paris 2024 di sini hari ini.
Nur Jannaton yang membuat kemunculan sulung di pentas Paralimpik di sini terpaksa akur dengan kekalahan 124-138 kepada lawan berusia 37 tahun itu.
Atlet berusia 28 tahun itu berkata cuaca hujan disulami dengan keadaan sejuk pada aksi di Invalides di sini mengakibatkan tangannya berasa kebas, sekali gus menyukarkannya untuk menentukan arah anak panah ke papan sasaran.
“Saya rasa sejuk melampau sehingga tangan kebas yang mengganggu saya, tak sangka hujan lebat sebegini sebab sebelum ini dengarnya panas.
“Jika diikutkan memang tak puas hati dengan persembahan saya hari ini. Kebiasaannya waktu hujan memang anak panah akan pergi bawah dan memandangkan saya pendek, jadi saya perlu angkat (busur) lebih tinggi lagi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Semalam, Nur Jannaton meraih keputusan positif di pusingan ranking dengan memperoleh 649 mata untuk menduduki tangga ke-24 sekali gus mengatasi rekod terdahulu dilakukannya pada Kejohanan Ranking Memanah Para Dunia Fazza di Dubai, Mac lepas iaitu 615 mata.
Biarpun cabarannya berakhir dalam acara individu, atlet berbadan kerdil berketinggian satu meter itu berazam untuk menebus kehampaannya dengan bangkit beraksi lebih baik pada acara compound berpasukan campuran terbuka bersama G. Daneshen.
Gandingan negara itu dijadual menentang pasangan Itali Matteo Bonacina-Eleonora Sarti pada pusingan penyingkiran 1/8 Isnin ini (2 Sept).
— BERNAMA