Paras air Sungai Saribas dipantau

PANTAU…Anggota APM sedang melakukan pemantauan paras air di ketiga-tiga kampung di Debak, malam tadi.

DEBAK: Walaupun keadaan banjir di tiga kampung di Daerah Kecil Debak telah reda dan paras air Sungai Saribas surut sepenuhnya, namun pemantauan terus dilakukan oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM).

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Betong Kapten Siti Huzaimah Ibrahim berkata kejadian banjir yang berlaku sekitar jam 9.30 pagi semalam, telah mengakibatkan tiga kampung yang terjejas iaitu Kampung Babu, Bungey dan Lalang dinaiki air sehingga dua kaki.

“Walaupun keadaan di ketiga-tiga kampung tersebut sudah terkawal, namun pihak kita sentiasa berjaga-jaga dengan memantau perkembangan semasa supaya operasi menyelamat dapat dilakukan segera jika paras air terus meningkat di kawasan terlibat,” katanya.

Siti Huzaimah berkata anggota APM telah mula memantau sejak malam tadi di beberapa lokasi yang mudah dilanda banjir di ketiga-tiga buah kampung tersebut sebagai persediaan menghadapi kemungkinan banjir yang lebih serius.

“Walaupun paras air di Sungai Saribas kini sudah semakin surut bermula pada malam tadi, tetapi keadaan masih lagi di peringkat berjaga-jaga memandangkan cuaca masih hujan di sekitar daerah ini,” katanya.

Namun demikian, Siti Huzaimah menasihati penduduk terutama yang tinggal di kawasan rendah supaya mengambil langkah berjaga-jaga dan sentiasa berada dalam keadaan siap sedia menghadapi musim banjir.

“Penduduk perlu bersedia mengemas dan memindahkan barangan masing-masing dan apabila diarahkan berpindah mereka perlu segera bertindak. Trend hujan kini juga menunjukkan peningkatan dan paras air sungai berdekatan kampung dijangka terus mening­kat jika mengalami hujan berterusan,” katanya.

Kata Siti Huzaimah, penduduk diminta mengikut arahan pihak berkuasa jika berlakunya banjir, dan beliau berharap semua penduduk mengikuti arahan untuk berpindah dan mementingkan keselamatan keluarga kerana banjir boleh menjadi lebih buruk tanpa diduga.

Oleh ADI SAFARMAN