PARIS: Jaguh badminton para negara Cheah Liek Hou memulakan misi mempertahankan pingat emas perseorangan lelaki SU5 (cacat fizikal) dengan cemerlang pada hari pertama Sukan Paralimpik Paris 2024, di sini hari ini.
Dalam aksi Kumpulan A yang berlangsung di Porte de la Chapelle Arena, pemain nombor satu dunia dan pilihan utama itu terbukti terlalu tangkas untuk ditangani pemain Poland Bartlomiej Mroz dengan kemenangan 21-10, 21-6 dalam masa 26 minit.
Sementara itu, seorang lagi pemain Malaysia Muhammad Fareez Anuar yang bermain dalam kategori sama, membuat penampilan pertama yang hebat apabila dia mengejutkan pilihan kedua dari Taiwan Fang Jen-Yu (TPE) 21-14, 21- 18 dalam perlawanan Kumpulan B.
Dalam pada itu, jurulatih mereka Nova Armada gembira melihat kedua-dua anak buahnya bermain dengan baik hari ini.
Walaupun dia telah menjangkakan Liek Hou akan memenangi perlawanan menentang Mroz, jurulatih dari Indonesia itu gembira melihat pemain bukan pilihan Muhammad Fareez mengejutkan Jen-Yu.
Beliau berkata pemain berusia 28 tahun itu mempunyai rekod buruk menentang pemain Taiwan itu, tewas enam kali dalam lapan perlawanan sebelum ini.
“Kemenangan Muhammad Fareez diharapkan mampu bina keyakinannya kerana dia berada dalam kumpulan kuat bersama pemain nombor tiga dunia Dheva Anrimusthi dari Indonesia,” kata beliau kepada Bernama.
Muhammad Fareez yang kini berada di kedudukan keempat terbaik juga diundi menentang Taiyo Imai dari Jepun dalam Kumpulan B.
Dua pemain teratas dari setiap kumpulan layak ke separuh akhir.– BERNAMA
Gambar
Aksi atlet para badminton negara, Muhammad Fareez Anuar pada aksi pertama Kumpulan B acara perseorangan lelaki SU5 di Paralimpik Paris 2024. Foto MPM