Paraguay sasar kejutan ‘mengubah hidup’ ke atas Jerman di Piala Dunia

Facebook
WhatsApp
KETUA jurulatih Paraguay, Gustavo Alfaro. Foto AFP

BOSTON, Amerika Syarikat: Ketua jurulatih Paraguay, Gustavo Alfaro, meminta para pemainnya merebut peluang sekali seumur hidup apabila mereka berhasrat mencipta kejutan besar dengan menyingkirkan Jerman dalam aksi Piala Dunia pada 3.30 pagi esok (waktu Malaysia).

Pasukan Amerika Selatan itu bangkit daripada kekalahan 4-1 kepada tuan rumah bersama Amerika Syarikat dalam perlawanan pembukaan untuk mara ke peringkat kalah mati buat pertama kali sejak 2002 sebagai salah satu pasukan tempat ketiga terbaik.

Jerman, juara empat kali, muncul juara Kumpulan E, namun tewas kepada Ecuador dalam perlawanan terakhir selain bergelut untuk menewaskan Ivory Coast secara tipis.

“Mereka merupakan antara calon untuk menjuarai Piala Dunia, namun kami akan memberikan segala-galanya di atas padang dan ini merupakan satu cabaran yang amat baik dan menarik,” kata Alfaro pada sidang media pra-perlawanan pada Ahad.

Jurulatih dari Argentina itu mengambil alih pasukan selepas kegagalan teruk di Copa América 2024 apabila Paraguay tewas dalam kesemua tiga perlawanan kumpulan.

Beliau memuji kemampuan pemainnya bangkit daripada kesukaran dan percaya mereka telah mencapai sasaran awal hanya dengan melangkah ke pusingan kalah mati.

Sebagai salah satu pasukan tempat ketiga yang layak, Paraguay terpaksa menunggu beberapa hari selepas perlawanan terakhir mereka, keputusan seri 0-0 menentang Australia untuk mengetahui sama ada mereka layak serta menentukan lawan di pusingan 32.

“Kami hanya tiba lewat malam tadi. Ia bukan masa yang ideal untuk membuat persiapan menentang Jerman, namun saya benar-benar percaya kepada pasukan ini sebagai satu unit serta keupayaan mereka bertindak balas ketika berdepan kesukaran,” tambah Alfaro.

“Saya berkata kepada para pemain bahawa ini merupakan Piala Dunia pertama kami. Ia boleh dilihat daripada pelbagai sudut, tetapi bagi saya kita perlu mengiktiraf pencapaian untuk sampai ke tahap ini.

“Saya belajar bahawa hanya yang terpilih dapat beraksi di Piala Dunia, hanya segelintir sahaja, dan jika pengalaman ini dimanfaatkan dengan sebaiknya, ia akan memperbaiki kehidupan seseorang.”

Pemenang perlawanan di Boston itu akan berdepan kemungkinan menentang Perancis yang sedang berada dalam prestasi baik sekiranya Les Bleus menewaskan Sweden. – AFP