KUCHING: Sarawak menjadi satu-satunya negeri yang melantik dua penolong ‘Chef De Mission’ (ACDM) bagi setiap jenis sukan sebagai persediaan menghadapi Para Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata dua ACDM dilantik bagi setiap jenis sukan manakala empat ACDM dilantik bagi sukan olahraga.
“Inisiatif ini hanya dilaksanakan di Sarawak bagi memastikan atlet para kita mendapat sokongan dan dorongan yang konsisten sebelum dan semasa temasya Para SUKMA XXI Sarawak 2024,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan bendera Kontinjen Para SUKMA Sarawak sempena Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Mohammad Razi Sitam dilantik bagi menggalas tanggungjawab sebagai ‘Chef De Mission’ (CDM) atau Ketua Kontinjen manakala Pengarah Jabatan Belia dan Sukan, Lamat Nyalau dilantik sebagai Timbalan ‘Chef De Mission’ (DCDM).
Para SUKMA Sarawak 2024 kali ini menampilkan 1,290 atlet yang disasarkan merampas kejuaraan dari kontinjen Sabah yang muncul sebagai juara keseluruhan pada Para SUKMA dua tahun lepas.
Menurut Fatimah, daripada jumlah tersebut, kontinjen Sarawak akan diperhebat lagi dengan penyertaan lima atlet para Sarawak yang telah mewakili Malaysia pada temasya Paralimpik Paris 2024 baru-baru ini.
Mereka adalah Bonnie Bunyau Gustin, Jong Yee Khie, Nicodemus Manggoi Moses, Mohamad Nur Saiful Zulkapli dan Abdul Razzaq Abdul Rahman.
Majlis itu turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan merangkap Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk SUKMA dan Para SUKMA XXI 2024, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Oleh RYNNA SHA’ERRA
Gambar
Sekitar majlis penyerahan bendera Kontinjen Para SUKMA Sarawak sempena Para SUKMA XXI Sarawak 2024 di Pusat Acara Hikmah Exchange (HEEC) di sini, hari ini yang turut dihadiri Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg. Foto HERRIEY NAHA.