PETRA JAYA: Bumi Kenyalang sekali lagi mencipta sejarah apabila para olahraga berjaya menghadiahkan 33 emas, melebihi sasaran 30 emas pada Para SUKMA kali ini.
Lebih manis, emas terakhir disumbangkan oleh Chong Cheng Tat menerusi acara Lempar Cakera Lelaki F34.
Menurut Ketua Jurulatih Pasukan Para Olahraga Sarawak, Matthew Chin, anak buahnya telah menunjukkan prestasi menakjubkan.
“Emas yang kami peroleh ini telah melebihi sasaran. Ada juga di antara bakat baharu yang menyumbangkan pingat emas ini,” katanya.
Ditanya mengenai sama ada atlet Sarawak akan menyertai skuad kebangsaan, Matthew berkata mereka akan ditapis, sehingga ada yang berkualiti untuk mewakili Malaysia.
“Selepas Para SUKMA ini, saya bagi mereka rehat terlebih dulu iaitu masa untuk pemulihan kerana badan mereka sudah ‘digasak.’
“Latihan mereka akan bermula pada November untuk kejohanan Para SUKMA di Selangor (2026),” katanya.
Beliau berkata, sekiranya Sarawak mahu menjadi juara, para atlet perlulah menunjukkan komitmen tinggi agar gelaran juara itu dapat dipertahankan.
“SUKMA di Kuala Lumpur dulu, atlet para olahraga hanya mendapat 25 emas. Tapi kali ini telah melebihi sasaran iaitu 30 emas.
“Untuk dua tahun lagi, kekuatan ini perlu ditambah baik agar atlet para olahraga terus menyinar,” katanya.
Pasukan olahraga tuan rumah telah menghadiahkan 33 emas, 24 perak dan 37 gangsa. Ini menjadikan sebanyak 94 pingat berjaya dikumpul di Stadium Sarawak.
Oleh NUR AIN OTSMAN