BERLIN: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengalu-alukan keputusan badan induk bola sepak dunia, FIFA, untuk membatalkan pelan melibatkan pelabur bagi Piala Dunia selepas menerima tentangan hebat, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
AFC menyertai Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) serta Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Tengah dan Caribbean (CONCACAF) dalam menolak rancangan FIFA untuk menjual pegangan minoriti dalam syarikat yang dicadangkan bagi mengurus hak komersial dan operasi kejohanan kepada pelabur swasta.
Perkembangan itu bermakna FIFA dan presidennya, Gianni Infantino, gagal memperoleh sokongan majoriti daripada 211 ahli badan induk itu, sebelum Infantino mengumumkan awal Sabtu bahawa rancangan berkenaan dibatalkan.
Presiden AFC, Shaikh Salman bin Ebrahim Al Khalifa, mengalu-alukan keputusan itu dan berkata:
“Masa depan bola sepak dunia mesti sentiasa dibentuk menerusi rundingan sewajarnya, dialog kolektif dan penghormatan terhadap struktur tadbir urus sedia ada sukan ini.
“AFC bersedia menyokong sebarang inisiatif yang memperkukuh perpaduan keluarga bola sepak, menyumbang kepada pertumbuhan berterusan sukan itu di peringkat global serta memberikan manfaat bermakna kepada semua pihak berkepentingan.”
Infantino sebelum ini menerima kritikan hebat apabila UEFA, yang turut mengancam untuk memulaukan acara FIFA sekiranya rancangan itu diteruskan, dan CONCACAF mengkritik kekurangan rundingan serta proses sewajarnya.
“Tidak bertanggungjawab dan tidak boleh dipertahankan apabila cadangan yang mempunyai implikasi besar terhadap bola sepak dirangka secara rahsia dan hampir diluluskan tanpa rundingan bermakna dengan pihak yang diamanahkan untuk mentadbir sukan ini,” menurut UEFA.
“Ia bukan sekadar kegagalan kepimpinan yang serius, malah pengabaian tanggungjawab FIFA sebagai penjaga bola sepak dunia.”
Perdana Menteri Britain Andy Burnham menyifatkan Infantino sebagai “individu yang tidak sesuai” untuk memimpin FIFA, manakala penasihat kanan Infantino, Carlos Cordeiro, meletakkan jawatan. Ketua pegawai operasi FIFA, Kevin Lamour, pula dipetik sebagai berkata bahawa rancangan itu merupakan projek peribadi Infantino.
Infantino menerajui FIFA sejak 2016 dan sedang berusaha mendapatkan penggal terakhir selama empat tahun pada tahun depan.
Walaupun beliau sebelum ini mendapat sokongan meluas daripada persatuan anggota FIFA, masih belum jelas sama ada sokongan itu kekal selepas kontroversi berkenaan. – Bernama




