KUCHING: Pantai Trombol mampu menjadi destinasi wajib dilawati di Sarawak sekiranya mempunyai kemudahan yang lengkap bagi memberi pengalaman menarik kepada pengunjung.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, selepas Covid-19 beransur pulih, sudah pasti pantai tersebut akan menjadi tumpuan ramai.
Sehubungan itu, menurutnya kementerian pelancongan peringkat persekutuan dan negeri perlu bekerjasama untuk terus mempopularkan dan menaik taraf prasarana di pantai tersebut.
“Pantai ini memerlukan kemudahan asas lengkap selain prasarana lain seperti tempat rehat, tempat beriadah dan ruang untuk bersukan bagi memberi keselesaan kepada pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengunjungi Pantai Trombol yang terletak 30 kilometer dari Bandar Raya Kuching di sini, semalam.
Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, pantai tersebut menjadi tumpuan ramai sejak empat bulan kebelakangan ini selepas keindahan pantainya tular di media sosial.
“Ini merupakan lokasi baharu yang menjadi tumpuan orang ramai untuk berkelah dan beriadah bersama keluarga,” ujarnya.
Beliau turut memuji Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Trombol yang berusaha membangunkan laluan dan mewujudkan ruang untuk berniaga di pantai tersebut.
Sementara itu, Dr Abdul Rahman turut menasihati orang ramai yang mengunjungi pantai tersebut supaya sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan.
“Kalau boleh bawa balik sampah dan jangan dibuang sembarangan kerana ia boleh mencacatkan permandangan yang indah di pantai ini.
“Sekiranya melakukan sebarang aktiviti berhampiran laut termasuk berenang, jaga keselamatan pada setiap masa,” jelasnya.
Hadir sama Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang dan Penghulu Telaga Air Murshidi Johari.
Oleh JEAKLEYN YACHO