
PETRA JAYA: Pandangan dan idea kritis anak Debak di perantauan ditagih untuk sama-sama memajukan Sarawak dan kawasan Dewan Undngan Negeri (DUN) Saribas amnya.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata pemikiran kritis serta cetusan idea daripada anak-anak Debak di perantuaan perlu diperhalusi dengan baik agar semua pandangan rakyat dari setiap peringkat dapat dijadikan landasan memajukan konstituensi itu.
“Saya yakin dengan kerjasama padu daripada semua pihak tidak mustahil bagi merealisasikan impian untuk menyaksikan kawasan DUN Saribas amnya dan daerah kecil Debak khasnya menjadi sebuah kawasan yang membangun dan maju dari segala aspek.
“Saya berharap semua lapisan masyarakat di DUN Saribas dan anak Debak di perantuan dapat bekerjasama dengan saya berkongsi idea untuk memajukan kawasan ini yang memiliki potensi besar terutamanya dalam sektor pertanian dan pelancongan,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Berambeh Ringgo Rayo Urang Debak di Dewan Serbaguna Akademi Kastam di Bandaraya Kuching hari ini.
Razi yang juga Ahli Dewan Undngan Negeri (ADUN) Saribas berkata beliau sedar tugas itu tidak boleh dilakukannya secara bersendirian dan memerlukan sokongan serta kerjasama semua masyarakat dalam misi terutamanya menjadikan DUN Saribas sebagai sebuah daerah kecil yang maju pada masa akan datang.
“Saya sebagai wakil rakyat yang telah diberi mandat, akan membawa lebih banyak lagi pembangunan ke kawasan Saribas. Namun saya perlukan sokongan padu daripada penduduk Saribas bagi memudahkan saya menjalankan tugas tersebut,” ujarnya.
Razi turut bersyukur kerana penganjuran majlis itu telah berjaya menghimpunkan semula anak-anak Debak yang berada di sekitar Bandaraya Kuching untuk bersama-sama meraikan majlis yang disambut di luar kawasan Saribas.
Oleh Adi Safarman