Panas, berjerebu: Sarawak rancang sembur air dari udara

Facebook
WhatsApp
OPERASI Pembenihan Awan. Gambar fail

KUCHING: Sarawak merancang operasi pembenihan awan (OPA) Siri 3 sebagai antara langkah mitigasi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering berpanjangan ketika ini.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, operasi dengan kerjasama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) itu akan memberi tumpuan kepada kawasan empangan dan tadahan air yang dikenal pasti kritikal.

Katanya, kawasan berkenaan diberi keutamaan kerana penting bagi memastikan kelangsungan bekalan air serta kestabilan paras empangan di negeri ini.

“Pelaksanaan OPA Siri 3 adalah tertakluk kepada ketersediaan awan yang sesuai serta keadaan atmosfera dan faktor meteorologi yang mengizinkan.

“Keberkesanan operasi bergantung kepada kewujudan sistem awan yang mempunyai ciri-ciri tertentu dan memenuhi kriteria teknikal serta keselamatan penerbangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Uggah berkata, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) akan terus menjalankan analisis dan penilaian teknikal bagi menentukan kesesuaian kawasan, masa serta keadaan atmosfera sebelum operasi berkenaan dilaksanakan.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 18 lokasi dipantau berdasarkan laporan situasi cuaca dan kualiti udara setakat 12 tengah hari ini.

Beberapa lokasi merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap Tidak Sihat, antaranya IPD Serian dengan bacaan 182, Kuching (171), Samarahan (170), Sri Aman (162), Sarikei (158), Mukah (151), Bintulu (151), Tebedu (150) dan Lundu (102).

Katanya, JPBNS akan terus bekerjasama dengan NADMA, METMalaysia, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (NREB), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), agensi utiliti serta agensi berkaitan.

Kerjasama itu bagi memastikan usaha pemantauan, pencegahan dan mitigasi risiko jerebu serta kebakaran dilaksanakan secara bersepadu.