KUCHING: Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sarawak kini sudah mencapai hampir 80 peratus siap, kata Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Menurut beliau, ia merupakan salah satu daripada projek utama di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR) dan terkini, Projek LPB bagi Pakej 7 iaitu dari Julau ke Sibu telah siap dan akan dirasmikan pada minggu hadapan.
“Projek tersebut akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan saya sendiri akan bersama beliau pada program tersebut nanti,” katanya, pada sidang media selepas menghadiri Sesi Libat Urus bersama pengamal media Sarawak, di sini, semalam.
Sementara itu, kata Ahli Parlimen Petra Jaya terbabit, satu lagi pakej iaitu jalan Serian ke Pantu kini turut menunjukkan kemajuan positif apabila mencapai hampir 99 peratus manakala upacara penyerahan projek akan dilaksanakan nanti.
Bagi pakej Projek LPB yang lain, kata Fadillah sekiranya mengikut perancangan, pakej-pakej tersebut dijadualkan siap pada penghujung tahun 2023 namun, disebabkan beberapa cabaran yang ada seperti bekalan, pandemik dan sebagainya, kemungkinan beberapa projek akan dapat disiapkan pada awal 2024.
Dalam perkembangan lain katanya, had laju kebanyakan laluan setelah jalan Pan Borneo siap masih ditetapkan pada kelajuan 90 kilometer sejam (km/j).
“Setakat ini, had laju untuk Pan Borneo masih 90 km/j dan apabila dibuka kepada dua laluan nanti, kemungkinan had laju ini akan diubah dan ia akan ditingkatkan.
“Namun dari segi pengawalan, kita akan melihat semula apa yang terbaik, saya rasa had laju yang boleh dilaksanakan adalah 100 km/j. Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memberikan keputusan yang selayaknya,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar pihak yang bertanggungjawab perlu mengarahkan syarikat dan pegawai keselamatan mengambil tindakan sewajarnya dalam meletakkan papan tanda yang betul di sepanjang jalan Pan Borneo.
“Ia supaya tidak mengelirukan pemandu dan boleh membahayakan nyawa mereka apabila menggunakan jalan tersebut,” ujarnya.
Oleh SYAMIMI HUSNA