SIBU: Tindakan seorang lelaki yang merosakkan Mesin Juruwang Automatik (ATM) dan Mesin Deposit Tunai (CDM) sebuah bank di sini telah membawa padah, apabila Mahkamah Majistret menjatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000.
Majistret Flavian Edward Henry menerima pengakuan bersalah tertuduh, Jaquclyn Vosco, 37 dan turut mengarahkan tertuduh menjalani hukuman setahun penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Bagaimanapun, tertuduh gagal membayar denda dan diperintah menjalani hukuman penjara empat tahun bermula hari ini.
Menurut pertuduhan, Jaquclyn didakwa melakukan khianat merosakkan satu CDM dan dua ATM sebuah bank di Jalan Kampung Nyabor pada 15 Januari lalu, kira-kira jam 9.30 malam, menyebabkan kerugian lebih kurang RM35,000.
Tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit dengan kesalahan.
Menurut fakta pertuduhan kes, pada hari kejadian pengadu mendapati penggera bank di Jalan Kampung Nyabor telah berbunyi dan apabila disiasat, pengadu mendapati skrin pemuka ATM dan CDM di bank terbabit telah dipecahkan.
Pengadu kemudian membuat laporan polis dan pada 16 Januari kira-kira jam 11 malam, pihak polis telah menahan tertuduh di sebuah rumah di Tanjung Latap.
Siasatan kemudian mendapati tertuduh bertindak memecah skrin pemuka mesin ATM dan CDM bank kerana marah apabila bantuan tunai daripada kerajaan masih belum diterimanya.
Pendakwaan kes dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Harvind Raja Gopal, sementara tertuduh tidak diwakili.
Oleh AKUN GIMAN