SARIKEI: Enam perokok dikenakan notis tawaran kompaun oleh penguatkuasa Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei gara-gara merokok di kedai makan.
Pegawai Kesihatan Bahagian Sarikei, Dr. Emmanuel Joseph Fong Tsung berkata, notis tawaran kompaun adalah mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.
“Pada 17 Februari 2023 (Jumaat), operasi yang disertai lima anggota kesihatan telah membuat pemeriksaan ke atas 10 premis kedai makan di sekitar bandar Sarikei.
“Semasa operasi tersebut, seramai enam orang perokok yang tidak mematuhi peraturan larangan merokok di kedai makan telah dikenakan notis tawaran kompaun,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, perokok yang berbuat demikian di tempat awam menggusarkan pelanggan yang terkena tempias bau asap rokok malah ada pekedai yang mengambil inisiatif mengguna tulisan amaran yang besar melarang merokok.
“Kami ingin memberi mengingatkan perokok agar mematuhi larangan merokok khususnya di kedai makan dan tempat larangan merokok yang lain.
“Kesalahan yang dikeluarkan boleh dijelaskan tawaran kompaun di Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei atau mana-mana pejabat kesihatan di seluruh negara,” katanya.
Dalam pada itu, Emmanuel berkata, khidmat berhenti merokok (KBM) juga disediakan di semua fasiliti kesihatan di Bahagian Sarikei.
“Bagi mereka yang berhasrat, sila dapatkan perkhidmatan profesional dari klinik kesihatan yang berdekatan” katanya.
Oleh EARL ANEK