SIBU: Orang ramai diminta memberi sumbangan buku bahasa Inggeris kanak-kanak baharu atau terpakai bagi menyokong inisiatif Yayasan Farley mengumpul 11,000 buku.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat 1, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, buku itu nanti akan diagihkan khususnya ke rumah panjang, kampung dan sekolah-sekolah di luar bandar.
“Yayasan Farley telah menyumbang 1,000 buku pada tahun lalu, sekarang kita hendak mengumpul 11,000 buku. Ini bermakna kita masih memerlukan 10,000 buku lagi.
“Dengan itu, kita mewujudkan ‘Book Drive’ yang diletakkan di semua premis Farley dan tempat-tempat lain di sekitar Sibu. Malah juga untuk premis Farley di Kuching,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran ‘Book Drive’ di Farley Sibu, hari ini.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka memuji inisiatif Yayasan Farley atas kesudian bekerjasama dengan Pusat Khidmat DUN Nangka untuk mengumpul 11,000 buku.
“Saya mewakili pihak Pusat Khidmat DUN Nangka memgucapkan terima kasih kepada Yayasan Farley atas inisiatif yang bermakna ini.
“Usaha ini adalah untuk memupuk amalan membaca buku dari awal. Ini adalah usaha untuk menguasai bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar,” katanya.
Beliau berharap orang ramai menyokong inisiatif itu untuk membolehkan pengumpulan lebih banyak buku bahasa Inggeris.
Turut hadir ialah Presiden Yayasan Farley, Eijing Lau.
Oleh AKUN GIMAN
Keterangan gambar
RASMI…..Dr Annuar menyempurnakan majlis pelancaran ‘Book Drive’ di Farley Sibu, hari ini. Turut kelihatan ialah Eijing.