MIRI: Sebanyak 56 kenderaan dikenakan tindakan pengeluaran notis ketidakakuran kepada pemandu dan pemilik oleh Unit Operasi dan Unit Penguatkuasa Bermotosikal (UPB) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Cawangan Miri, hari ini.
Menurut jurucakap JPJ Negeri, UPB, dan JPJ Cawangan Miri menerusi satu kenyataan, aktiviti penguatkuasa secara Rondaan Pemantauan dan Penguatkuasaan in telah dilaksanakan di sekitar pusat bandar Miri dan Jalan Miri Bintulu, hari ini.
Katanya, sebanyak 358 kenderaan telah diperiksa.
Daripada jumlah itu, jelasnya, 56 pemandu, dan pemilik kenderaan menerima notis ketidakakuran.
“Tindakan pengeluaran notis ketidakakuran itu kerana telah dikesan melakukan beberapa kesalahan.
“Antaranya, tidak memiliki lesen memandu, insurans dan lesen memandu tamat tempoh, abai isyarat lalu lintas, langgar syarat permit Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP), dan beberapa kesalahan teknikal yang lain.
“Turut disita tiga motosikal atas pelbagai kesalahan,” katanya lagi.
Tambahnya, Ops Khas Gempur Teknikal akan terus dilaksanakan.
Ini, jelasnya, bagi memantau, mengesan, dan mengambil tindakan terhadap pemandu, dan pemilik kenderaan perdagangan yang gagal mematuhi, dan melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), dan Kaedah-Kaedah di bawah Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).
JPJ Sarawak, justeru, mengingatkan semua pengguna jalan raya untuk mematuhi undang-undang, dan peraturan jalan raya yang berkuatkuasa pada setiap masa.
Selain SiSPAA, p.sarawak@jpj.gov.my atau menghubungi talian 082-373000, katanya, orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan trafik, dan lain-lain aduan ke e-Aduan@JPJ.
Oleh Adum Liu