SALAH satu peristiwa penting dalam sejarah Sarawak ialah era pendudukan Jepun di Sarawak. Sarawak tidak terlepas daripada serangan Jepun dalam Perang Dunia Kedua. Jepun dengan cepatnya menawan Sarawak yang bermula dari Miri dan berakhir di Kuching.
Namun demikian, pemerintahan keras Jepun ini tidak disukai oleh penduduk tempatan. Pelbagai tindakan yang tidak berperikemanusiaan dilakukan ke atas penduduk tempatan. Bagi penduduk tempatan, tindakan Jepun ini tidak dapat dihalang dan mereka terpaksa akur dengan pelbagai arahan yang diberikan.
Kawalan ketat dengan adanya perisikan Jepun dalam kalangan penduduk tempatan menyebabkan tidak ada gerakan untuk menentang Jepun di Sarawak. Malahan, ibu pejabat Jepun ketika itu yang berpusat di Kuching, memudahkan Jepun mengawal gerak-geri penduduk Sarawak.
Hanya di Sabah berlaku gerakan penentangan oleh Albert Kwok, individu kelahiran Kuching. Beliau bersama-sama kumpulannya telah menyerang dan menawan Kota Kinabalu (Jesselton) pada 10 Oktober 1943. Kejayaan ini tidak berpanjangan kerana pada 13 Oktober 1943 Jepun menyerang dan menawan semula Kota Kinabalu. Akibat kejadian ini, maka Jepun memindahkan pusat pentadbiran di Sabah.
Manakala di Sarawak, gerakan menentang Jepun mula muncul yang digerakkan oleh tentera Australia. Sejak tahun 1944, kedudukan Jepun di kawasan kekuasaannya di Asia mulai goyah. Pada tahun 1944 tentera Amerika Syarikat berjaya mengalahkan Jepun di Filipina dengan bantuan penduduk tempatan. Kejayaan ini menyebabkan kedudukan Jepun di Borneo, terutamanya di Sarawak mula meruncing.
Tentera Australia
Pihak yang bertanggungjawab dan ditugaskan untuk membebaskan Sarawak, Sabah dan Brunei diletakkan atas bahu tentera Australia. Untuk tujuan itu, tentera Australia telah menubuhkan Service Reconnaissance Department (SRD) untuk menggerakkan usaha menawan semula Sarawak, Sabah dan Brunei. Dalam SRD ini pula mempunyai beberapa unit kecil dan salah satunya adalah ‘Z’ Special Unit.
Unit ini dilatih dalam taktik perang gerila di Pulau Fraser dan latihan payung terjun di Richmond. Mereka juga dilatih di Advanced Training Camps, Darwin bagi latihan ketenteraan lanjutan. Unit ini terdiri daripada beberapa kakitangan tentera laut, darat, udara dan beberapa orang awam. Representasinya pelbagai, dan datang dari pelbagai tempat seperti Australia, British, New Zealand, Kanada, Amerika Syarikat dan Belanda. Terdapat juga orang Melayu, Cina, Timor dan Filipina menyertai SRD. Mereka ini juga diajar berbahasa Melayu, dan mempunyai pelbagai bidang kepakaran seperti bidang perubatan.
‘Z’ Special Unit mempunyai perancangan untuk mengurus dan menjalankan operasi gerila, termasuk dalam sabotaj, dan mengumpul maklumat menerusi risikan dengan pertolongan penduduk tempatan.
Operasi Di Sarawak
Gerakan ‘Z’ Special Unit yang ditugaskan di utara Borneo terbahagi kepada dua operasi. Pertama adalah operasi yang digerakkan di Sabah. Operasi ini dikenali sebagai Operasi Agas. Manakala di Sarawak pula, operasinya dinamakan Operasi Semut.
Pada rancangan awalnya operasi ini cuba digerakkan menerusi jalan laut, tetapi kemudian ditukar kepada usaha menerjunkan anggota operasi ini menerusi udara ke pedalaman Sarawak. Tindakan mendaratkan pasukan ini menerusi kapal selam tidak disokong kerana strategi ini akan menemui kegagalan. Sebagai contoh, operasi Harimau yang digerakkan menerusi penghantaran kapal selam ke Singapura menemui kegagalan dengan anggota yang terlibat terbunuh.
Manakala usaha mereka menggerakkan aktiviti di pedalaman lebih berkesan. Hal ini kerana, tentera Jepun tidak menguasai kawasan pedalaman dan membiarkannya diuruskan oleh penduduk tempatan. Oleh hal yang sedemikian itu, tiada kawalan dilakukan atas kawasan pedalaman yang berbeza daripada kawasan pesisir.
Pada 25 Mac 1945, SRD menghantar lapan orang ahlinya ke Sarawak. Lapan orang ini kemudiannya membentuk Operasi Semut 1. Semut 1 ini di bawah Major Tom Harrisson daripada tentera British. Kelapan-lapan mereka ini telah diterjunkan dari dua kapal pengebom B24 Liberator.
Mereka ini telah diterjunkan di Bario, iaitu Tanah Tinggi Kelabit. Kehadiran mereka disambut baik penduduk tempatan setelah satu penerangan dibuat oleh Harrisson. Bario kemudiannya menjadi ibu pejabat Operasi Semut. Ibu pejabat ini menjadi pusat untuk persediaan asas bagi mengambil dan melatihkan penduduk tempatan bagi gerakan gerila. Pihak SRD juga membekalkan senjata kepada Semut 1 untuk diberi kepada penduduk tempatan. Sehingga Julai 1945, itu seramai lebih 1000 orang dilengkapi dengan senjata, termasuk senjata yang dirampas daripada tentera Jepun.
Gerak Kerja Semut
Unit kecil operasi Semut yang asalnya di bawah Harrisson mula dipecahkan kepada beberapa bahagian lain, sama ada berdasarkan Semut yang sedia ada, mahupun menerjunkan tentera SAR ke Sarawak. Semut 2 adalah daripada unit yang diterjunkan ke Sarawak pada 16 April 1945, di bawah Major G. S. Carter. Pasukan Semut 2 ini disambut baik oleh Penghulu Tama Wing Ajang. Kekuatan Semut 2 ini ditambah dengan beberapa lagi pasukan payung terjun yang diturunkan pada bulan April tersebut. Manakala Semut 3 pula datang daripada Semut 2 di bawah W. L. P. Sochon.
Keadaan sama juga tentang Semut 4 yang di bawah pimpinan Leftenan Claffey yang wujud pada Ogos 1945. Kepimpinan Semut 4 ini kemudiannya bertukar tangan apabila Leftenan Waddy mengambil alih kepimpinannya daripada Claffey pada 24 September 1945.
Orang tempatan yang menyertai Operasi Semut ini bukan sahaja menjadi perisik untuk mendapatkan maklumat dan menyertai gerakan gerila, tetapi juga menjadi penunjuk arah dan pengangkut barang bagi melicinkan operasi ini. Operasi Semut ini mempunyai kekuatan sendiri dengan memiliki 23 pegawai dan 59 anggota pelbagai pangkat yang mengetuai kira-kira 2000 anggota gerila tempatan. Satu landasan terbang dibina di Lembah Bawang di Kalimantan bagi tujuan membantu pasukan tersebut.
Semut 1 dan Semut 2 menjalankan operasi di Baram hingga ke Lawas. Dalam operasi ini Semut 1 dikatakan berjaya melumpuhkan kedudukan Jepun di utara Sarawak. Semut 2 pula meneruskan operasi mensabotaj kemudahan Jepun, seperti serangan terhadap stesen tanpa wayar di Long Lama.
Manakala Bahagian Ketiga pula ditugaskan kepada Semut 3. Semut 3 ini lebih kepada usaha mendapat sokongan kaum Iban, berbeza daripada Semut 1 dan 2. Semut 1 dan 2 lebih kepada sokongan daripada orang Kelabit, Kayan, Kenyah dan Murut. Terdapat juga sokongan daripada orang Iban, Kedayan dan Cina.
Sochon yang memimpin Semut 3 membenarkan orang Iban melakukan aktiviti mengayau semula bagi memerangi tentera Jepun. Akibat daripada kebenaran ini menyebabkan kesan ke atas pekerja Cina yang bekerja di stesen pertanian yang diusahakan oleh Jepun di Kanowit terbunuh. Kejayaan besar Semut 3 ini adalah menyebabkan tentera Jepun di bawah Leftenan Noda menyerah kalah di Sibu.
Tugas Semut 4 pula tertumpu kepada kawasan pesisiran pantai, terutamanya di kawasan Samalaju bagi menjalinkan hubungan baik dengan penduduk tempatan. Selain itu juga, mewujudkan unit Semut 4 di Mukah. Tugas Semut 4 ini lebih mudah kerana tentera Jepun telah berundur ke pedalaman yang membolehkan mereka menguasai Mukah. Pengunduran tentera Jepun ini menyebabkan Semut 4 telah dibubarkan.
Kekuatan
Kejayaan operasi Semut di Sarawak melawan Jepun banyak bergantung pada sokongan penduduk tempatan. Kekejaman Jepun terhadap penduduk tempatan memberi ruang kepada sokongan penduduk tempatan kepada operasi ini.
Tanpa sokongan dan dokongan penduduk tempatan ini, usaha pihak SRD akan menemui kegagalan. Langkah mengembalikan pemerintahan orang putih akan mengambil masa lebih lama untuk dilaksanakan. – Dr. Suffian Mansor, Pengerusi Pusat Kajian Sejarah, Politik dan Hubungan Antarabangsa (SPHEA), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.