KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sarawak, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak komited dalam mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri ini dengan meneruskan sanitasi di beberapa kawasan semalam.
Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (JBPM) Sarawak, KKM bersama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan telah menjalankan kerja-kerja nyahkuman di sebuah kediaman di Kota Samarahan.
“Kerja sanitasi di sini dijalankan pada jam 2.00 petang dan selesai jam 3.30 petang dengan melibatkan lima anggota Bomba dan tiga anggota KKM.
“Selain itu, lokasi lain adalah di 10 blok bangunan melibatkan keluasan 3,000 meter persegi di Pekan Batu 3 Kuching iaitu di bawah kawasan Majlis Perbandaran Padawan (MPP).
“Operasi di sini bermula jam 3.00 petang dengan melibatkan keseluruhan 21 orang yang mana lapan anggota Bomba dan 13 dari MPP,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Tambahnya, pada sebelah pagi sanitasi telah dilakukan di Pusat Penjaja Bintawa dan Surau Darul Amin Jalan Bentara, Samariang.
“Kerja nyahkuman di pusat penjaja dilakukan ke atas premis gerai makanan dan jualan barangan basah melibatkan keluasan 800 meter persegi dengan melibatkan seramai 23 orang terlibat anggota perbagai agensi.
“Bagi kerja sanitasi di surau pulau, nyahkuman dilakukan di dalam dan luar surau termasuk kawasan persekitaran melibatkan keluasan 600 meter persegi, di sini seramai 24 anggota dari Bomba, Dewan Bandaraya Kuching Utara(DBKU) dan KKM terlibat,” tambahnya.