
BETONG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Betong melaksanakan Operasi Bersepadu Cegah Jenayah di Lebuh Raya Pan Borneo dekat Betong hari ini sebagai langkah memperkukuh keselamatan awam di daerah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Betong, DSP Wan Mohamad Ali Wan Malek berkata operasi tersebut dilaksanakan secara menyeluruh dengan penglibatan pelbagai bahagian dan balai polis di bawah pentadbiran IPD Betong.
Menurut beliau, operasi itu diselaraskan oleh Inspektor Jida Juing selaku Pegawai Penyelaras manakala Inspektor Mohd Hadi Mohd Yasin bertindak sebagai Pegawai Medan sepanjang operasi dijalankan.

Seramai seorang pegawai kanan polis dan 18 pegawai rendah polis terlibat dalam operasi berkenaan yang terdiri daripada anggota Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (BPJKKD), Bahagian Siasatan Jenayah (JSJ), Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) serta beberapa balai polis daerah.
Operasi tersebut turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Betong yang menugaskan lima anggotanya bagi membantu pemantauan serta penguatkuasaan lalu lintas di kawasan operasi.
DSP Wan Mohamad Ali berkata objektif utama operasi adalah untuk menurunkan kadar jenayah terutama melibatkan kes pecah rumah, samun dan kecurian kenderaan selain membanteras aktiviti samseng jalanan termasuk ‘Mat Rempit’.
Katanya, operasi berkenaan juga bertujuan meningkatkan kehadiran polis di kawasan panas jenayah selain menjalankan pemeriksaan terhadap individu dan kenderaan yang mencurigakan menerusi kaedah snap check.

Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 35 individu diperiksa membabitkan 30 lelaki dan lima perempuan, manakala 30 kenderaan turut diperiksa termasuk motosikal, kereta, jip, pikap, MPV dan lori.
Dalam operasi sama, polis mengeluarkan lima keping saman PDRM (K) 257 atas pelbagai kesalahan lalu lintas, namun tiada tangkapan atau rampasan dilakukan sepanjang operasi berlangsung.
Beliau berkata operasi berjalan lancar dalam keadaan cuaca baik tanpa sebarang insiden tidak diingini dan menegaskan bahawa pendekatan bersepadu seperti itu akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam di Daerah Betong sentiasa terjamin.
Oleh Adi Safarman