




MIRI: Seramai 30 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah dalam Op Tapis Khas Sarawak Bil.3/2026 yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sekitar daerah ini, baru-baru ini.
Polis Daerah Miri menerusi hantaran di laman Facebook hari ini berkata, operasi yang dilaksanakan dari 26 hingga 28 Februari itu membabitkan penahanan 18 lelaki tempatan, lima wanita tempatan serta tujuh lelaki warga asing.
Menurutnya, dua kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, 11 kes di bawah Seksyen 12(3) akta sama dan 30 kes di bawah Seksyen 15(1)(a) akta berkenaan.
“Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat kira-kira 14 gram dengan anggaran nilai RM1,562.
“Seorang lagi individu turut ditahan berhubung waran tangkap selepas gagal hadir ke Mahkamah Miri bagi pertuduhan kes dadah,” menurut hantaran itu.
Kesemua suspek kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.
Oleh Liong Chai Ling