
KUCHING: Sebanyak lima kes kemalangan direkodkan sepanjang operasi Op Selamat 24/2025 yang dilaksanakan baru-baru ini, dengan ia dilaporkan berpunca daripada kelalaian pemandu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Dato Mancha Ata menyatakan bahawa punca utama kemalangan sepanjang operasi termasuk kegagalan mengawal kenderaan, memandu dengan laju, perlanggaran bertentangan, pemanduan berbahaya di simpan serta pelanggaran di bahagian belakang kenderaan.
Bagaimanapun, jumlah kes tersebut menunjukkan trend penurunan daripada jumlah kes yang dilaporkan semasa Op Selamat 22/2024, iaitu sebanyak tujuh kes manakala bilangan kematian juga berkurangan daripada tujuh pada 2024 kepada lima pada 2025.
Menurut Mancha, antara pengguna jalan raya yang terlibat dalam kemalangan maut, penunggang motosikal mencatatkan bilangan kematian tertinggi, iaitu tiga mangsa. Ia diikuti dengan satu kematian melibatkan pemandu kenderaan pacuan empat roda dan trak.
Op Selamat 24 yang diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 telah berlangsung selama enam hari, bermula dari 29 Mac hingga semalam (3 April). Sepanjang tempoh tersebut, Sarawak merekodkan sebanyak 332 kes kemalangan jalan raya, penurunan sebanyak 22 kes semasa Op Selamat 22, iaitu 354 kes.
Selain itu, operasi kali ini menyaksikan sebanyak 6,707 saman bagi pelbagai kesalahan trafik dikeluarkan, penurunan sebanyak 23.8 peratus berbanding tahun lepas, yang mana sejumlah 8,804 saman telah dikeluarkan. Penurunan tersebut dikaitkan dengan tumpuan lebih meluas kepada advokasi dan bantuan kepada pengguna jalan raya bagi memastikan kelancaran lalu lintas.
Secara keseluruhan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak telah melaksanakan pelbagai strategi seperti Op Lancar dan Omnipresence, Show of Force, dan Enforcement by Objective bagi memastikan pengurusan trafik yang lebih berkesan. Ia turut melibatkan operasi pemantauan di kawasan berisiko tinggi kemalangan dan mempromosikan amalan pemanduan selamat.
Oleh Connie Chieng