KOTA SAMARAHAN: Tiga lelaki tempatan ditahan atas kesalahan berasingan dalam Op Bersepadu Cegah Jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan selama dua hari.
Menurut IPD Kota Samarahan, seorang daripada mereka ditahan berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan, manakala dua lagi disyaki memandu dengan kandungan alkohol dalam badan melebihi had dibenarkan.
Kedua-dua kes pemanduan di bawah pengaruh alkohol itu disiasat mengikut Seksyen 45A Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sepanjang operasi berkenaan, polis memeriksa 90 kenderaan dan 92 individu menerusi sekatan jalan raya, pemeriksaan serta rondaan cegah jenayah di kawasan tumpuan dan lokasi panas sekitar Kota Samarahan.
Sebanyak 14 saman PDRM (K) 257 turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
IPD Kota Samarahan memaklumkan rondaan dan operasi berfokus akan terus dipertingkatkan khususnya di kawasan berisiko sebagai usaha mencegah jenayah, meningkatkan pematuhan undang-undang serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.




