Onana terlepas baki saingan Piala Dunia akibat kecederaan ACL

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
KETUA Jurulatih Belgium, Rudi Garcia, memeluk Amadou Onana (#24) selepas kemenangan 4-1 dalam perlawanan pusingan 16 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 antara Amerika Syarikat dan Belgium di Stadium Seattle pada 6 Julai 2026, di Seattle, Washington. Foto AFP

BRUSSELS: Pemain tengah Belgium, Amadou Onana, disahkan terlepas baki saingan Piala Dunia 2026 selepas mengalami kecederaan koyakan ligamen krusiat anterior (ACL) pada lutut kanan ketika membantu negaranya menewaskan tuan rumah bersama, Amerika Syarikat, dalam aksi pusingan 16 terbaik.

Persekutuan Bola Sepak Belgium mengumumkan perkara itu selepas pemain berusia 24 tahun yang beraksi bersama Aston Villa itu terpaksa dikeluarkan lebih awal dalam kemenangan 4-1 Belgium ke atas Amerika Syarikat di Seattle.

“Malangnya, pemeriksaan perubatan mengesahkan Amadou mengalami koyakan ligamen krusiat anterior. Ini merupakan berita yang amat menyedihkan, bukan sahaja buat beliau secara peribadi, malah kepada seluruh pasukan,” kata doktor pasukan Belgium, Brahim Hacene, dalam satu kenyataan.

AMADOU Onana (#24) dari Belgium memberi tepukan penghargaan kepada penyokong selepas kemenangan 3-2 pasukannya dalam perlawanan pusingan 32 terbaik Piala Dunia FIFA 2026 antara Belgium dan Senegal di Stadium Seattle pada 1 Julai 2026, di Seattle, Washington. Foto AFP

Menurut beliau, pihak pasukan segera mengadakan perbincangan dengan Onana dan kelabnya, Aston Villa, bagi menentukan kaedah terbaik untuk proses pemulihan pemain itu.

“Dalam beberapa hari akan datang, kami akan bersama-sama menentukan langkah seterusnya berkaitan rawatan dan program rehabilitasi beliau,” katanya.

Bagaimanapun, kenyataan itu memaklumkan bahawa Onana akan terus berada di Amerika Utara bersama rakan sepasukannya sekurang-kurangnya sehingga tamat aksi suku akhir.

Belgium dijadual menentang Sepanyol dalam perlawanan suku akhir di Los Angeles pada 3.00 pagi Sabtu (waktu Malaysia). – AFP