LONDON: Sebuah pendarat bulan milik syarikat penerbangan angkasa Amerika Syarikat (AS) menjadi kapal angkasa persendirian pertama mendarat di bulan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pendarat Nova-C Odysseus milik syarikat Intuitive Machines mendarat di kawasan kutub selatan bulan pada 11.23 malam (2323 GMT), semalam.
Detik itu juga menandakan kali pertama pesawat angkasa AS mendarat di bulan sejak misi terakhir program Apollo – Apollo 17 – lebih 50 tahun lalu.
Berita itu disahkan oleh ketua eksekutif Intuitive Machines Steve Altemus, yang berkata: “Saya tahu ini adalah situasi yang menegangkan tetapi kami berada di permukaan dan kami sedang menghantar.
“Selamat datang ke Bulan.”
Sementara itu, di Washington, pegawai NASA berkata, Odysseus menghantar semula isyarat lemah ke Bumi selepas beberapa minit, lapor Sputnik.
“Buat kali pertama dalam lebih setengah abad, Amerika Syarikat telah kembali ke Bulan,” kata Pentadbir NASA Bill Nelson.
“Odysseus telah menemukan rumah baharunya,” kata pengarah misi Tim Crane.
Pengawal penerbangan Intuitive Machines berkata isyarat daripada Odysseus hilang selama kira-kira tujuh minit selepas pendaratan dan walaupun isyarat itu kemudiannya diperoleh semula, ia kekal sangat lemah.
Selain itu, status kapal angkasa dan misi robotik yang dibawanya mungkin tidak dapat disahkan selama beberapa jam.
Intuitive Machines, syarikat yang berpangkalan di Texas yang membangunkan pendarat di bawah kontrak dengan NASA, semalam berkata, Odysseus telah mula menghantar data selepas menyelesaikan masalah komunikasi.
Menerusi hantaran di X, Intuitive Machines berkata kakitangan syarikat itu kini berusaha untuk menghantar imej pertama dari permukaan bulan. – Bernama – Agensi