
ATLANTA, Amerika Syarikat: Harry Kane sekali lagi membuktikan ketajamannya apabila meledak dua gol lewat permainan untuk membantu England bangkit menewaskan Republik Demokratik Congo (DR Congo) 2-1 di Atlanta sebentar tadi, sekali gus mengelakkan skuad Three Lions daripada tersingkir secara memalukan dan mara ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia.
Berazam menamatkan penantian selama 60 tahun untuk memenangi kejohanan utama, anak buah Thomas Tuchel terselamat daripada menanggung aib hasil dua jaringan kapten mereka itu selepas Brian Cipenga meletakkan DR Congo di hadapan menerusi gol awal perlawanan.
Bagaimanapun, skuad Three Lions perlu meningkatkan prestasi jika mahu mengatasi cabaran lebih getir apabila berdepan salah satu tuan rumah bersama, Mexico, di Stadium Azteca pada aksi pusingan 16 terbaik Ahad ini.
Sudah pun bergelar penjaring terbanyak sepanjang zaman England di Piala Dunia, Kane kini mengumpul 13 gol dalam kejohanan itu, termasuk lima gol pada edisi kali ini, sekali gus terus bersaing memburu anugerah Kasut Emas.
Kekalahan itu menamatkan perjalanan penuh kejutan DR Congo yang kembali beraksi di Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 52 tahun.

Skuad The Leopards sebelum ini tidak pernah mengutip sebarang mata mahupun menjaringkan gol di pentas Piala Dunia. Namun, kali ini mereka hampir menyingkirkan antara pasukan pilihan kejohanan.
Tuchel melakukan dua perubahan daripada kesebelasan utama yang menewaskan Panama apabila Declan Rice kembali mengemudi bahagian tengah, manakala Djed Spence diturunkan di posisi bek kanan selepas Reece James dan Jarell Quansah diketepikan akibat kecederaan.
Keputusan Tuchel untuk tidak membawa lebih ramai pemain di posisi bek kanan dalam skuad 26 pemain dijangka terus dipersoalkan selepas DR Congo membuka tirai jaringan menerusi bahagian kanan pertahanan England.
Spence gagal mengawal hantaran lintang Chancel Mbemba sebelum bola jatuh kepada Cipenga. Percubaan rendah dan deras pemain sayap Almeria itu sepatutnya mampu diselamatkan Jordan Pickford, namun penjaga gol England itu gagal menghalangnya di tiang dekat gawang.

Hampir 70,000 penyokong England yang memenuhi stadium dengan warna merah dan putih terpaku, manakala para pemain England jelas kelihatan gugup.
Jude Bellingham dilayangkan kad kuning selepas melakukan terjahan keras sebelum terlibat dalam pertengkaran hangat dengan Tuchel ketika hentian rehat minum pada pertengahan babak pertama.
Bagaimanapun, hentian permainan itu memberi peluang kepada Tuchel untuk menenangkan semula pasukannya.
Tandukan kencang Bellingham hasil hantaran lintang Declan Rice akhirnya memaksa penjaga gol DR Congo, Lionel Mpasi, melakukan aksi menyelamat.

Beberapa ketika kemudian, percubaan deras Marcus Rashford disekat di garisan gol oleh Aaron Wan-Bissaka yang dilahirkan di London selepas larian lincah Noni Madueke membuka ruang dalam benteng pertahanan DR Congo.
England bernasib baik tidak ketinggalan dengan jaringan lebih besar sebelum rehat.
Yoane Wissa, yang menjaringkan tiga gol pada peringkat kumpulan untuk membantu negaranya mara ke pusingan kalah mati Piala Dunia buat kali pertama, memiliki peluang terbaik menggandakan kelebihan DR Congo. Namun, rembatan penyerang Newcastle itu hanya menggegar bahagian luar tiang dari jarak dekat.
Di hujung padang yang lain, Kane berang apabila dijatuhkan ketika cuba melepasi Mpasi, namun pengadil enggan menghadiahkan sepakan penalti.

Mpasi, penjaga gol Le Havre, terus cemerlang apabila menepis satu lagi tandukan padu Bellingham sebelum menggagalkan percubaan Kane daripada sepakan penjuru pada aksi terakhir babak pertama.
Selepas memulakan babak kedua dengan baik, England semakin ketandusan idea sebelum Tuchel memasukkan beberapa pemain menyerang dari bangku simpanan.
Bukayo Saka, Anthony Gordon dan Eberechi Eze dibawa masuk bagi menghidupkan semula jentera serangan England.
Hasilnya, Gordon yang baru menyertai Barcelona melakukan hantaran lintang tepat untuk Kane menanduk masuk gol penyamaan pada minit ke-75.
Gordon sekali lagi mencipta bantuan jaringan untuk gol kemenangan pada minit ke-86, namun Kane melakukan penyudah berkualiti apabila melepaskan rembatan kencang yang menerjah bumbung gawang bagi mencatat gol antarabangsa ke-84 bersama England. – AFP