
NILAI: Pelumba berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menyifatkan kejayaan mempertahankan pingat emas acara pecut elit pada Kejohanan Trek Kebangsaan dan Remaja Kebangsaan kali ini sebagai pencapaian yang cukup bermakna.
Nurul Izzah berkata kejayaan tahun ini juga lebih istimewa kerana saingan yang dihadapi lebih sengit berbanding edisi lepas, selain terpaksa melalui perlumbaan penentuan ketika aksi final buat pertama kali di Kejohanan Kebangsaan.
Pelumba Kedah itu berkata walaupun berlaku kesilapan pada perlumbaan pertama, namun beliau lega berjaya memperbaiki kelemahan itu untuk bangkit pada dua perlumbaan terakhir.
“Tahun ini memang sangat bermakna untuk saya kerana Nur Alyssa (pelumba Johor, Nur Alyssa Mohd Farid) turut mengambil bahagian, jadi persaingan lebih mencabar. Saya juga tidak pernah ke perlumbaan penentuan dalam Kejohanan Kebangsaan, jadi ini merupakan satu perkembangan yang baik.
“Kita perlu terus meningkatkan prestasi, tidak boleh berasa selesa dengan kedudukan sekarang. Kita ada pencabar yang mampu memberikan saingan yang sama hebat, jadi ini adalah perkara yang baik supaya terus memperbaiki diri bersama-sama untuk pertandingan seterusnya,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan di Velodrom Nasional, Nilai di sini hari ini.
Kejayaan hari ini menambah kegembiraan Nurul Izzah selepas turut memenangi emas dalam acara keirin semalam.
Dalam pada itu, pingat gangsa pecut wanita menjadi milik Nurul Aliana Syafika Azizan dari Pulau Pinang yang menewaskan pelumba Selangor, Yong Ann Tung.
Mengenai kejohanan seterusnya, Nurul Izzah berkata tumpuannya kini terarah kepada Sukan Komanwel 2026 di Glasgow, Scotland pada Julai, Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun (September) dan Kejohanan Dunia yang dijadual berlangsung pada Oktober.
Katanya, beliau sedang berusaha mengumpul mata kelayakan ke Kejohanan Dunia, namun Sukan Komanwel dan Sukan Asia juga penting dalam perancangannya musim ini.- Bernama