KUCHING: Sebagai Mentor Kelab Penceramah Muda Angkatan Zaman Mansang (AZAM) dan Pengarah Daerah 87, Nur Zaihanirah Zaini, membawa semangat kemerdekaan Malaysia ke pentas global dengan memenangi Anugerah Daerah Tersohor Pilihan untuk penggal 2023-2024.
Menurut kenyataan AZAM, pengiktirafan berprestij ini diumumkan semasa majlis Hall of Fame di Konvensyen Toastmasters Antarabangsa yang diadakan di Anaheim Marriott, California.
Katanya, Zaihanirah, yang juga ahli terkemuka Kelab Toastmasters AZAM di Kuching, menunjukkan kepemimpinan luar biasa, mencerminkan nilai-nilai yang diraikan setiap 31 Ogos pada Hari Kebangsaam Malaysia iaitu ketahanan, keberanian, dan komitmen terhadap kemajuan diri dan negara.
“Seperti pejuang kebebasan negara kita, Zaihanirah telah mengukuhkan reputasi Daerah 87 di pentas antarabangsa, menggambarkan semangat Malaysia Madani,” katanya.
Dalam ucapannya pada majlis itu, Zaihanirah menyatakan pengalamannya sebagai ‘Produk AZAM’ telah mengajar beliau untuk memimpin dengan dedikasi, sama seperti negara ini yang dibina atas asas ketekunan dan perpaduan.
“Memimpin Daerah 87 adalah tanggungjawab besar, dan saya bangga membawa semangat kemerdekaan Malaysia ke arena global,”katanya.
Dalam kenyataan sama, menurut AZAM, penubuhan Kelab Penceramah Muda AZAM di Sarawak yang dipimpin oleh Zaihanirah, selaras dengan semangat kemerdekaan, menyediakan peluang kepada belia Malaysia untuk berdiri di atas kaki sendiri, sama seperti negara ini mencapai kemerdekaan.
“Dengan mewujudkan ruang untuk kemahiran berucap di khalayak ramai dan kepemimpinan, Kelab Penceramah Muda AZAM bukan sahaja memajukan individu malah juga menyumbang kepada pembangunan negara,” jelasnya.
Gambar
KEJAYAAN DIRAIH… Nur Zaihanirah Zaini yang mencapai Anugerah Daerah Tersohor Pilihan untuk penggal 2023-2024.