LAWAS: Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) telah meneruskan perlaksanaan dua projek utama Kerajaan Persekutuan yang telah dihentikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dahulu.
Projek benteng pemecah ombak di Awat-awat yang dilaksana semasa Kerajaan Persekutuan dibawah Barisan Nasional (BN) yang dihentikan oleh Kerajaan PH akan diteruskan melalui peruntukan daripada Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menjelaskan bahawa projek lain yang juga akan diteruskan menerusi NRDA ialah kerja membaik pulih Sekolah Kebangsaan (SK) Awat-Awat yang juga terhenti semasa pentadbiran pusat Kerajaan PH.
Tengah juga memberitahu pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) akan meneruskan perlaksanaan pembinaan benteng pemecah ombak hingga ke kawasan pantai di bekalang Awat-Awat.
Struktur dan reka bentuk juga akan disesuaikan dengan keadaan geografi setempat dalam melindungi perkampungan di Awat-Awat daripada menerima hentaman langsung ombak besar pada musim tengkujuh.
Tambahnya, kerja membaik pulih SK Awat-Awat akan turut dilaksana menerusi peruntukan NRDA bagi memastikan anak-anak di Awat-Awat terus dapat mengikuti pembelajaran dalam keadaan selamat dan selesa.
Malah, pihak kerajaan juga merancang untuk membina sekolah baharu di Awat-awat bagi mengantikan sekolah sedia ada yang sudah uzur.
Menyentuh mengenai keperluan bekalan air bersih, kerajaan Sarawak melalui NRDA juga akan berusaha mengatasi isu lain melalui pendekatan jangka pendek dan jangka panjang.
Bagi tindakan jangka pendek, semua paip yang rosak dan pecah akan dibaiki segera.
Manakala, untuk perancangan jangka panjang pula akan dibina paip yang selari dari simpang Sundar terus ke Awat-awat.
Justeru, sebuah tangki besar “high level water tank” juga akan dibina beserta dengan pemasangan paip baharu.
Sementara itu, pihak Majlis Daerah Lawas juga telah diarahkan untuk memulakan operasi gerai di bangunan medan niaga di Tebingan Awat-Awat dengan memberi keutamaan kepada usahawan kecil tempatan.
Selain itu, projek pembinaan Tebingan Awat-Awat juga akan ditambah bagi menceriakan seluruh kawasan tebingan yang menghadap ke Laut China Selatan itu menjadi daya tarikan pelancong tempatan dan luar negara.
Turut hadir, Residen Bahagian Limbang, Ir Ahmad Denney Ahmad Fauzi, Pengarah NRDA, Datu Ubaidillah Abdul Latip, Ahli MKT Parti PBB Sarawak, Kr Awangku Jinal Abidin Pengiran Jawa dan Dato Dayang Morliah.
Oleh Adeng Edrus