KUALA LUMPUR: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan notis kesiapsiagaan kemungkinan banjir kilat bagi empat negeri melibatkan Pahang, Selangor, Johor dan Sarawak.
JPS dalam kenyataan yang dikeluarkan setakat 5 petang tadi memaklumkan, ia berdasarkan maklumat ramalan hujan daripada model Numerical Weather Prediction (NWP) oleh Jabatan Meteorologi dan sistem Southeastern AsiaOceania Flash Flood Guidance System (SAOFFGS).
Menurut maklumat itu, terdapat risiko banjir kilat di beberapa lokasi berkenaan, sekiranya berlaku hujan lebat atau ribut petir yang signifikan dalam tempoh 12 jam daripada notis itu dikeluarkan.
JPS memaklumkan Pahang melibatkan daerah Rompin, dengan lokasi terlibat adalah Kampung Janglau 1, 2 dan 3, Kampung Serinkin, Kampung Setajam, Kampung Pianggu serta Kampung Sarang Tiong.
Selangor membabitkan daerah Klang di Kampung Delek, Jalan Kebun Nenas, Kampung Jawa, Taman Melawis, Teluk Pulai, Taman Petaling, Taman Sentosa, Taman Saujana, Taman Rashna, Kampung Bukit Naga, Batu 8 Jalan Bukit Kemuning dan Pandamaran.
Johor melibatkan daerah Mersing di Kampung Air Tawar, Kampung Semaloi, Kampung Asli Labong, Sungai Padang, Kampung Kuria Batu 4 dan Mukim Triang, manakala daerah Pontian melibatkan Kampung Bugis, Batu 6, Kampung Parit Jerman, Kampung Penerok, Jalan Makam, Kampung Penghulu Bakar, Kampung Permas serta Kampung Parit Sulaiman.
Sarawak pula membabitkan daerah Kuching di Kampung Batu Kitang, Batu Kitang KM10, Kampung Stenggang, Kampung Mambong, Kampung Bratan dan Kampung Selampit, manakala daerah Serian melibatkan Taman Duranda Mas, Kampung Duras Batu 16 dan 17, Jalan Kuching-Tapah Lama, Jalan Kampung Batu Gong serta Siburan Bazaar.
JPS memaklumkan notis kesiapsiagaan itu dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk, khasnya di kawasan berisiko berwaspada dengan sebarang kemungkinan berlaku banjir kilat bagi tempoh tersebut.
“Sila patuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Orang ramai boleh melayari https://publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook @PublicInfoBanjir dan Twitter @JPS_InfoBanjir untuk maklumat lanjut dari semasa ke semasa. – BERNAMA