Notifikasi Chomel Hand Sanitizer dibatalkan, metanol melebihi had – KKM

Facebook
WhatsApp
KKM membatalkan notifikasi tiga kelompok Chomel Hand Sanitizer selepas produk berkenaan dikesan mengandungi metanol melebihi had ditetapkan dan tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.

PUTRAJAYA: Notifikasi Chomel Hand Sanitizer dibatalkan selepas tiga kelompok produk itu dikesan mengandungi metanol melebihi had ditetapkan dan tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.

Dalam satu kenyataan, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan pembatalan notifikasi itu dibuat oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi susulan hasil pengujian Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) terhadap produk berkenaan menerusi Aktiviti Pemantauan Kualiti Kosmetik Bernotifikasi di pasaran.

Menurut KKM, hasil pengujian mendapati kelompok produk terbabit tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan di bawah Guidelines for Control of Cosmetic Products in Malaysia.

“Tiga kelompok Chomel Hand Sanitizer yang terlibat ialah BN111025, BN01026 dan BN061225,” menurut kenyataan itu.

Oleh itu, KKM menggesa orang ramai supaya tidak membeli atau menggunakan produk daripada kelompok berkenaan.

KKM menjelaskan bahawa metanol ialah bahan kimia yang tidak dibenarkan digunakan sebagai bahan aktif dalam kosmetik termasuk pensanitasi tangan, kecuali dalam kuantiti amat kecil bagi tujuan tertentu dan penggunaan secara tidak terkawal boleh mendatangkan risiko kesihatan serius.

“Penggunaan metanol secara tidak terkawal boleh mendatangkan risiko kesihatan yang serius. Pendedahan kepada metanol melalui kulit boleh menyebabkan kerengsaan kulit dan mata, sakit kepala, pening, loya, kerosakan sistem saraf, serta gangguan penglihatan termasuk risiko buta.

“Dalam kes yang serius, pendedahan berlebihan kepada metanol atau tertelan secara tidak sengaja boleh menyebabkan koma dan kematian,” menurut kenyataan berkenaan.

Sehubungan dengan itu, KKM mengarahkan penjual dan pengedar supaya menghentikan penjualan serta pengedaran produk terbabit dengan serta-merta kerana tindakan menjual atau mengedarkannya melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Menurut KKM, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan berkenaan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya. 

Syarikat pula boleh dikenakan denda hingga RM50,000 bagi kesalahan pertama dan hingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.

KKM turut menasihati orang ramai yang sedang menggunakan produk berkenaan supaya menghentikan penggunaannya serta-merta dan mendapatkan nasihat profesional kesihatan sekiranya mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.- Bernama