KUALA PERLIS: Kira-kira 20 tahun lepas, Nor Asmah Daud dari Ipoh, Perak sanggup datang ke Kampung Tok Kaya dekat sini semata-mata ingin mempelajari teknik pembuatan wau daripada Adiguru Kraf Wau, Samat Man atau lebih dikenali sebagai Pak Non, seorang yang tidak asing dalam pembuatan wau di negara ini.
Nor Asmah, 45, berkata, beliau mengambil masa kira-kira setahun mempelajari teknik membuat wau sobek iaitu wau tradisional diperbuat daripada kertas, daripada Pak Non yang juga bapa mentuanya dan kini mampu membuat wau sendiri.
“Dalam menghasilkan wau sobek, pembuat wau perlu mempunyai daya kesabaran yang tinggi kerana bukan mudah untuk menyiapkan ukiran yang boleh mengambil masa sehingga sebulan bergantung kepada saiz dan jenis wau yang ditempah,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.
Ibu kepada tujuh anak itu merupakan satu-satunya pembuat dan pelayang (pemain) wau wanita profesional di negara ini.
Ditanya mengapa begitu berminat dengan wau, Nor Asmah berkata beliau bukan hanya tertarik kepada kehalusan corak ukirannya, tetapi juga ciri-ciri kelembutan yang terdapat pada wau apabila ia terbang ke udara.
“Bila melihat keindahan dan kelembutan wau terbang, ianya memberi ketenangan kepada diri dan hati saya terus terpaut dengannya,” katanya yang gemar melayangkan wau lang dan wau merak.
Nor Asmah yang kini menetap di Kampung Tok Kaya berkata, beliau meminati ukiran motif daun kacang dan lada hitam dalam menghasilkan wau sobek.
Dalam pada itu, beliau berharap lebih ramai kaum wanita berminat untuk mempelajari teknik membuat wau memandangkan warisan tersebut semakin dilupakan oleh generasi muda masa kini.
“Saya bersedia memberi tunjuk ajar kepada wanita agar dapat berkongsi minat yang sama,” katanya yang memasang impian untuk menjadi Adiguru Kraf Wau seperti Pak Non satu hari nanti.
Sementara itu, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perlis Ahmad Said berkata, pihaknya akan mendaftarkan Nor Asmah dan suaminya Amran Samat sebagai pelapis pembuat wau di negeri ini selain anak-anak murid Pak Non agar warisan ini dapat diteruskan. – Bernama