Nombor pendaftaran palsu bawa padah, remaja 19 tahun ditahan

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

MIRI: Tindakan seorang remaja mempamerkan nombor pendaftaran palsu pada motosikal membawa padah apabila dia ditahan dalam Op Samseng Jalanan di sekitar bandar raya ini awal pagi tadi.

Dalam operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri, sebanyak 10 motosikal disita, manakala 35 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan trafik.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, operasi yang bermula pada 10.30 malam semalam hingga 4.30 pagi tadi itu melibatkan pemeriksaan di sekitar Bandar Miri, Jalan Miri Bypass, Jalan Marina, Jalan Canada Hill, Jalan Piasau, Jalan Tudan dan Jalan Pujut.

Menurutnya, seramai 31 lelaki dan empat wanita bersama 35 motosikal telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan.

“Sebanyak 10 motosikal disita mengikut Seksyen 60(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

PERIKSA…Polis menjalankan pemeriksaan terhadap penunggang dan motosikal dalam Operasi Samseng Jalanan yang dilaksanakan di beberapa lokasi sekitar Miri.

“Seorang penunggang motosikal tempatan berusia 19 tahun pula ditahan mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook Polis Daerah Miri, hari ini.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dikesan ialah menunggang tanpa lesen memandu, mengubah suai struktur motosikal, menggunakan ekzos bising, tidak memasang cermin sisi, tidak mempamerkan nombor pendaftaran, menggunakan nombor pendaftaran yang diubah suai, serta melakukan pelbagai kesalahan teknikal lain.

Mohd Farhan berkata, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti samseng jalanan kerana perbuatan itu boleh membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.

Katanya, orang ramai diminta mematuhi undang-undang jalan raya dan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti samseng jalanan kepada IPD Miri atau balai polis berhampiran bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Oleh Liong Chai Ling