
SIBU: Penyertaan pertandingan Pekit Betabuh (Ngajat) Terbuka anjuran Kesatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU) Sibu yang semakin meningkat dilihat sebagai petanda positif terhadap usaha memartabatkan seni budaya tradisional masyarakat Dayak.
Ketua Biro Kesenian dan Kebudayaan SDNU Sibu, Anyie Angking berkata, pertandingan itu dianjurkan bagi memastikan permainan adat tradisional terus dipelihara dan tidak pupus ditelan zaman.
“Tujuan pertandingan ini adalah untuk membangunkan permainan adat asal tradisional kita supaya ia terus mekar terpelihara dan tidak pupus ditelan zaman,” katanya ketika berucap pada pertandingan yang berlangsung di Permai Lake Garden FoodCourt (Lakeside), semalam.
Beliau berkata, sambutan tahun ini amat menggalakkan apabila penyertaan meningkat kepada 11 kumpulan berbanding lapan pada tahun lalu.
Menurutnya, seni ngajat dan ‘betabuh’ memerlukan kemahiran serta penguasaan yang tinggi, sekali gus menjadikan usaha memelihara warisan budaya itu amat penting khususnya dalam kalangan generasi muda.
Dalam pertandingan tersebut, kumpulan Raban Pesaka Aki Uban dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart muncul johan sekali gus melayakkan mereka ditaja oleh SDNU Sibu untuk membuat persembahan pada Malam Mantar Gawai Dayak Sibu pada 23 Mei ini.
Naib johan dimenangi kumpulan Tapang Bekumbai Nanga Salim manakala tempat ketiga menjadi milik Bujang Bejuang Kumang Betandak dari Bawang Assan.
Johan membawa pulang wang tunai RM900 berserta piala iringan, diikuti tempat kedua RM700 dan tempat ketiga RM500.
Hadiah disampaikan oleh Pengerusi SDNU Sibu Chambai Lindong.
Anyie turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Selangau, Edwin Banta atas tajaan yang membantu menjayakan penganjuran pertandingan berkenaan.
Oleh Tarani Lanting